Seorang maut, tiga parah dirempuh bas persiaran

Bas persiaran yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas dikatakan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan merempuh sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita bersama dua anaknya. Gambar kecil: Mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
A
A

GEORGETOWN - Seorang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi parah dirempuh bas persiaran di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bas persiaran yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas dikatakan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan merempuh sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita bersama dua anaknya.

Bas yang dipandu lelaki berusia 49 tahun itu kemudiannya merempuh sebuah motosikal yang diparkir di tepi jalan dan merempuh penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Motosikal milik mangsa remuk teruk selepas dirempuh bas terbabit.
Motosikal milik mangsa remuk teruk selepas dirempuh bas terbabit.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, bas berkenaan terus bergerak dan merempuh tembok batu pagar perumahan di kawasan berhampiran.

Menurutnya, akibat kejadian itu, penunggang motosikal, Muhammad Saifullah Muhammad Hafiez,16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta bersama dua anaknya yang mengalami cedera dikejarkan ke hospital.

"Siasatan awal mendapati bas berkenaan mengalami masalah brek dan menyebabkan pemandunya hilang kawalan.

"Pemandu bas berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pihaknya sedang menunggu keputusan ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Anbalagan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.