Kerajaan janji hapus rasuah: PM

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan keutamaan penting terhadap janji membasmi rasuah selain menzahirkan komitmen untuk menunaikan janji-janji yang lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Keutamaan adalah rasuah, kita telah meluluskan banyak undang-undang berkaitan rasuah dan kita mewujudkan agensi baharu (berkaitan rasuah) sebab kita serius mengenainya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata daripada laporan yang beliau peroleh, tiada lagi kes rasuah berskala besar manakala kes rasuah kecil juga telah berkurangan.

Mengulas pencapaian PH selepas mengemudi kerajaan Malaysia dalam tempoh setahun setengah ini, Dr Mahathir berkata, banyak kejayaan yang telah dicapai.

"Apabila kita melihat semula kemajuan dalam setahun setengah ini, saya rasa sesiapa pun tidak boleh mencabar kita dengan mengatakan kita mengambil alih kerajaan dan terus menguruskan negara ini sehingga rakyat menghormati kita. Mereka tidak menggelar kita sebagai kleptokrasi,” katanya.

Mengenai usaha PH dalam memenuhi janji-janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, kebanyakan janji telah dilaksana, dan kerajaan masih mempunyai masa untuk menunaikan janji-janji yang lain.

"Kita janji untuk lima tahun, ini belum lima tahun tetapi ada yang telah kita capai, ada yang telah kita capai separuh dan ada masa lagi yang belum dicapai sepenuhnya," katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun PH merupakan kerajaan baharu Malaysia tetapi negara ini tetap dihormati dan diterima baik oleh negara-negara luar.

Artikel Berkaitan:

"Di Bangkok, Thailand baru-baru ini pun, suara kita dapat diperdengarkan dan banyak cadangan kita yang diterima. Ini menunjukkan pengiktirafan kepada kerajaan, jadi kita tidak boleh kata kita kurang pencapaian.

"Kalau kita bukan satu model yang baik, hari ini orang akan asingkan diri mereka daripada kita tapi hari ini negara lain datang yang menyatakan kekaguman mereka kepada negara ini," katanya.

Dr Mahathir berkata, jika dibuat perbandingan peralihan kuasa antara Malaysia dan negara lain, peralihan kuasa di Malaysia berlaku dengan cara yang teratur dan menurut 'kedaulatan undang-undang'.

"Di negara lain berlaku rusuhan sehingga ada perang saudara kerana tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya tetapi di sini peralihan berlaku dengan lancar," katanya.

Dr Mahathir berkata, bersatu sebagai satu pakatan adalah janji terbesar yang telah dilaksanakan oleh PH sejak kerajaan baharu ditubuhkan sebaik sahaja memenangi pilihan raya umum lepas.

Mengakui ia tidak mudah memandangkan mereka mempunyai idea yang berbeza-beza yang mewakili parti masing-masing, beliau berkata: “Anda tahu saya daripada mana, tapi kami tetap bersama dan seperti yang anda lihat mereka kini bersama-sama dengan saya”.

Dr Mahathir berkata, sejak mengambil alih kerajaan, tidak ada perselisihan faham ataupun halangan terhadap kerajaan melaksanakan tugas-tugas.

Beliau berkata walaupun jemaah menteri yang dilantik adalah orang baharu dalam pentadbiran kerajaan tetapi kesemua ahlinya bekerja mengikut konsensus.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menempelak pembangkang yang berterusan memberi teguran kononnya untuk mengajar kerajaan cara mentadbir tetapi tidak berbuat demikian semasa mereka memegang tampuk pemerintahan negara.

"Soalnya kenapa dia (pembangkang) tidak nasihat kepada pemimpin dahulu bila curi duit. Sokong bukan main. Tetapi sekarang kononnya nak tunjuk pada kita macam mana nak tadbir negara.

"Apabila pemimpin terlibat dengan rasuah, mereka tidak tegur, kalau yang tegur kena buang. Itu kongkongan seorang diktator.

"Bukan macam diktator yang dahulu diktator dahulu baik, dia kekal selama 22 tahun. Apabila diktator ambil alih 2009 tak tahan lama pasal dasarnya ialah ‘ wang adalah segala-galanya," katanya, sambil menegaskan bahawa PH tidak berpegang kepada slogan 'wang adalah segala-galanya’. - Bernama