Isu keselamatan rumah ibadat dalam gua

Bentuk muka bumi di Perak khususnya di Lembah Kinta amat unik dengan wujudnya bukit batu kapur yang turut membentuk gua-gua kecil. Gambar kecil: NOOR AINON
Bentuk muka bumi di Perak khususnya di Lembah Kinta amat unik dengan wujudnya bukit batu kapur yang turut membentuk gua-gua kecil. Gambar kecil: NOOR AINON
A
A
A

BENTUK muka bumi di Perak khususnya Lembah Kinta amat unik dengan wujudnya bukit batu kapur yang turut membentuk gua-gua kecil.

Disebabkan keindahan bukit batu kapur ini jugalah Lembah Kinta dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 25 Oktober tahun lalu.

Selain menjadi tempat pelancongan dan aktiviti sukan lasak, kawasan gua batu kapur itu turut dijadikan rumah-rumah ibadat penganut agama Buddha.

Antara gua yang dijadikan rumah ibadat di sekitar Lembah Kinta ialah Gua Kek Look Tong, Sam Poh Tong, Dong Hua Tong, Ling Sen Tong dan Kwan Yin Tong.

Selain menjadi tumpuan ibadat penganut Buddha, gua-gua itu turut menjadi tarikan pelancong kerana hiasan dan landskap yang menarik serta unik.

Namun, biarpun ia dijadikan rumah ibadat, ia bukan jaminan untuk selamat daripada sebarang malapetaka atau bencana yang boleh mengorbankan nyawa.

Kejadian runtuhan gua yang berlaku di Tokong Perak Tong pada 11 Januari 2009 jam 3.23 petang hingga mengorbankan satu nyawa wajar menjadi pedoman pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan rumah ibadat diambil perhatian serius.

Dalam kejadian itu, satu bongkah batu kapur jatuh menghempap anak tangga dan turut menyebabkan bumbung kuil runtuh sehingga mengakibatkan 20 orang terperangkap dalam runtuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sepertimana yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak (JBPM), pemeriksaan dibuat ke atas rumah-rumah ibadat yang berada di gua-gua itu dalam memastikan selain mempunyai laluan keluar masuk, mereka sewajarnya mempunyai pemadam api dan memeriksa pendawaian secara berkala.

Jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada sekolah-sekolah tahfiz berikutan kejadian menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017 yang mengorbankan 21 pelajar, kini pihak JBPM Perak memberikan perhatian kepada rumah ibadat lain bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.

Tindakan yang dilakukan JBPM harus diberikan sokongan dan kerjasama baik oleh semua pihak kerana berusaha mengambil langkah-langkah keselamatan awal sebelum sesuatu kejadian buruk berlaku.

Jika diikutkan situasi di negara ini, kebanyakan pihak berkuasa hanya mengambil langkah-langkah keselamatan setelah kejadian tidak diingini berlaku dan selepas itu barulah pelbagai kajian mahu dibuat serta tindakan tegas diambil.

Baik rumah ibadat mahupun bangunan kediaman, langkah keselamatan tidak boleh dikompromi kerana fungsi sesebuah premis itu bukan jaminan untuk selamat daripada sebarang bencana.

Ramai beranggapan rumah ibadat adalah antara yang selamat untuk dijadikan tempat berlindung kerana beranggapan tuhan melindungi tempat tersebut tetapi tanpa binaan kukuh dan ciri-ciri keselamatan yang baik, sesiapa pun tidak boleh melindunginya.

Janganlah mengambil mudah dengan percaya bahawa segala yang berlaku sudah ditakdirkan tuhan jika usaha untuk mengelak kejadian tidak diingini itu diabaikan.