KJ harap bola sepak negara tidak musnah selepas ketiadaan Teong Kim

Khairy (kanan) berkongsi gambar terbaru beliau bersama Teong Kim. - Foto: Facebook Khairy Jamaluddin
Khairy (kanan) berkongsi gambar terbaru beliau bersama Teong Kim. - Foto: Facebook Khairy Jamaluddin
A
A
A

SELEPAS berakhirnya kontrak Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 31 Oktober lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap sistem pembangunan bola sepak negara tidak dimusnahkan pihak tertentu.

Khairy yang menjadi orang penting ketika membawa masuk bekas jurulatih akademi Bayern Munich selama 12 tahun itu untuk mengetuai Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 2013 menjelaskan, apa yang dilakukan oleh Teong Kim adalah sesuatu yang membanggakan.

“Teong Kim telah meninggalkan Malaysia dengan baik dan kembali ke Munich, Jerman. Pada 2013, saya meyakinkan beliau untuk mengetuai NFDP. Dia merupakan seorang yang tegas.

“Dia mendorong pemainnya ke tahap tertinggi. Dia menuntut yang terbaik daripada barisan kejurulatihan. Dia juga mempunyai pengkritik dan banyak kali kami tidak sependapat tetapi saya biarkan dia menguruskan tugasnya.

"Kita tidak layak ke Piala Dunia Bawah 17 tetapi benih yang ditanam oleh Teong Kim akan berkembang satu hari nanti asalkan sistem yang dibinanya tidak dimusnahkan oleh pihak tertentu,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun kata Khairy, beliau sedih tidak dapat melihat kejayaan itu bersama Teong Kim.

“Ia satu perjalanan yang hebat. Saya memberitahu kamu bahawa pembangunan memakan masa yang panjang. Saya sedih kita tidak dapat melihatnya bersama-sama,” katanya.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini menghargai sumbangan dan komitmen Teong Kim dalam memulihkan imej bola sepak negara.

Artikel Berkaitan:

Khairy (kanan) sewaktu memperkenalkan Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013. (FOTO: Facebook Khairy Jamaluddin)
Khairy (kanan) sewaktu memperkenalkan Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013. (FOTO: Facebook Khairy Jamaluddin)

Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013 dan kemudian memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Bagaimanapun, tugasnya sebagai Pengarah Teknikal diambil alih Saad Ichalelene yang merupakan bekas jurulatih remaja kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG).

Penstrukturan semula NFDP itu dibuat pada Disember 2018, susulan kegagalan Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018, sekali gus menutup peluang beraksi pada Piala Dunia B-17 2019.