Patriotisme dan kepenggunaan

A
A

SEBUAH negara yang berwibawa adalah apabila rakyatnya bersedia memelihara kepentingan negaranya sendiri.

Maknanya, sementara sesebuah negara juga perlu memiliki prinsip adil terhadap warga negara lain, namun keutamaan kepada negara sendiri harus di kehadapankan.

Patriotisme terkait dengan semangat mengutamakan dan mencintai negara. Ia penting untuk menjaga keutuhan dari segi perpaduan dan menjaga nama baik negara. Untuk itu, patriotisme adalah elemen penting membangunkan negara.

Tidak guna negara memacu ke tahap kemajuan bertaraf dunia akan tetapi rakyat sendiri tiada rasa kasih kepada tanah airnya.

Patriotisme boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk. Ada dengan cara menghormati bendera negara, lagu negara dan institusi negara. Ada juga mengutamakan produk dan hasil negara. Bukan sahaja produk, malah khidmat yang diketengahkan atas nama negara. Menampilkan sikap patriotik juga bermakna merasa bangga kepada apa yang dihasilkan oleh negara.

Salah satu terjemahan patriotisme adalah dengan membeli barangan dan mengguna khidmat dari hasil negara sendiri.

Di sinilah, tabiat pengguna ada kaitan dengan semangat patriotisme. Budaya pengguna yang seharusnya mengamalkan tabiat mengutamakan barangan dan khidmat tempatan penting bukan sahaja dari sudut ekonomi malah budaya dan agama.

Patriotisme dan kepenggunaan saling berkait. Bila ada rasa kasih kepada negara maka sepatutnya kepenggunaan juga seiring mengutamakan barangan dan perkhidmatan negara.

Namun untuk menghasilkan impak yang saling mengukuh antara patriotisme dan kepenggunaan itu, cabaran juga besar.

Dalam hal itu, pengguna berdepan dengan kompleksiti antara asakan budaya kepenggunaan global dengan membina produk tempatan yang berkualiti.

Ketika kepenggunaan dipengaruhi oleh jenama antarabangsa, pengguna tempatan sering teruja membeli produk luar dikait dengan prestij dan trend.

Jenama antarabangsa yang menguasai pasaran dunia merempuh pasaran negara dan mempengaruhi budaya berbelanja sehingga pengguna terheret dalam ekonomi global.

Walhasil, terpahatlah pemikiran pengguna terutama dalam kalangan pengguna elit bahawa barangan luar negara lebih superior daripada barangan tempatan.

Ada yang sanggup berbelanja beratus ribu ringgit hanya untuk beg tangan atau produk kosmetik. Ada memilih untuk mengguna perkhidmatan agensi luar berbanding syarikat tempatan.

Dalam hal menerapkan pengguna untuk dibudayakan dengan membeli barangan dan khidmat tempatan adalah suatu cabaran. Ia berkait dengan beberapa isu antaranya soal kualiti, promosi, persembahan dan harga.

Jika barangan tempatan terpelihara kualiti dan harga serta promosi yang strategik, tabiat pengguna dapat dipengaruhi. Lantaran kualiti barang tempatan banyak yang belum cukup mencapai standard yang selayaknya.

Kini aspek yang semakin mendapat perhatian adalah soal halal dan ciri tayyibah sesuatu produk dan perkhidmatan.

Bagi pengguna Muslim, patriotisme kini tidak boleh dipisahkan dari aspek syariah. Budaya pengguna patuh syariah perlu diterapkan sehingga patriotisme kepenggunaan menjadi lebih luas kepada seluruh dunia Islam. Bererti semua pengguna Muslim menjadikan produk patuh syariah sebagai pilihan utama.

Kempen Beli Barangan Malaysia adalah sangat relevan dalam konteks ekonomi dan kepenggunaan negara.

Taraf dan kualiti produk dan perkhidmatan diukur dari segi standard yang dinilai oleh SIRIM dan pensijilan Halal oleh JAKIM.

Sementara itu, ada juga ukuran mesra alam. Jika barangan dan perkhidmatan Malaysia dapat dipiawaikan memenuhi semua kriteria di atas, tidak ada sebab untuk jenama Malaysia dijadikan keutamaan pengguna.

Sudah sampai masanya sikap patriotisme negara berganding dengan nilai budaya kepenggunaan yang sihat.

Dalam kalangan 32 juta pengguna di Malaysia itulah kuasa membeli dan tabiat berbelanja sangat berkait bagi membentuk semangat patriotisme dan kepenggunaan yang mampan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.