Waze tumpul kemahiran manusia

A
A

TANPA disedari Waze atau aplikasi trafik yang lain jelas menguasai segenap pergerakan hidup kita dewasa ini. Perjalanan yang tampak mudah suatu ketika dahulu, kini menjadi sukar sekiranya kita tidak menggunakan aplikasi trafik berkenaan.

Waze ialah aplikasi trafik dan trafik sosial berdasarkan komuniti pemandu dunia terbesar yang berkongsi maklumat jalan masa nyata dan menyumbang kepada kebaikan bersama di jalan raya.

Dengan menggunakan Waze, kita secara pasif menyumbang kepada pelbagai data khususnya maklumat lalu lintas.

Tidak dapat dinafikan perjalanan dan pergerakan ialah rempah-ratus kehidupan manusia.

Semestinya aplikasi digunakan untuk mengetahui situasi trafik pada laluan tertentu. Ada juga menggunakan Waze untuk mendapat laluan lebih cepat.

Manusia sememangnya perlu bergerak kerana kita dicipta daripada lebih kurang tujuh octillion atom mengandungi purata 37.2 trillion sel, 5.5 liter darah.

Jantung perlu berdegup sekitar 100,000 kali sehari, mata berkedip antara 10 ke 15 kali seminit dan tubuh perlu cerna makanan lebih kurang 12 jam sehari.

Pergerakan akan menjadi lebih optimum dan terurus jika manusia mengetahui ke mana mereka bergerak dan berjalan.

Dulu manusia berpandukan sekeping peta untuk ke destinasi tertentu. Tiga orang warga Israel, Ehud Shabtai, Amir Shinar dan Uri Levine memperkenalkan Waze bermula Jun 2013.

Sebenarnya al-Quran telah lama menjadi sumber inspirasi kepada pembangunan teknologi Global Positioning System (GPS) sebagaimana ALLAH SWT nyatakan dalam surah Al-Waaqi’ah: “Kami menjadikan api itu untuk peringatan dan bahan yang berguna bagi musafir di padang pasir.

"Abu Rayhan Muhammad Ahamad Al-Biruni atau dikenali dengan Al-Biruni mengupas kekuasan GPS dan Waze dalam bukunya bertajuk Rasa’il Al-Biruni. Buku itu mengkaji pengaruh sumber api daripada matahari dan bulan ketika menentukan musim pasang surut air laut sebagai pedoman perjalanan.

Beliau turut mengkaji kedudukan dan karakter bintang bagi menentukan haluan pengembaraan dan perjalanan, arah kiblat, waktu solat serta kedudukan garisan lintang atau bujur bagi menunjukkan lokasi sesuatu bandar.

Al-Biruni dilahirkan di kawasan terpencil Khwarazm atau Chorasmia di Uzbekistan.

Beliau dibesarkan di kawasan oasis terbesar di delta sungai Amu Darya barat Asia Tengah menjadikan Al-Biruni seorang pakar Astronomi terkenal di era Islam abad pertengahan.

Kehidupan

Seorang lagi pakar astronomi terkenal ialah Ibn Al-Shatir (1304-1375M) yang meneruskan hasil kajian Al-Biruni dengan mencipta peranti pengaturacaraan waktu yang menggabung jam matahari universal dan kompas magnetik bertujuan mencari waktu solat, sebagai sumber asas pembangunan teknologi GPS.

Ketika ini, 10 aplikasi navigasi terbaik di pasaran dunia berasaskan kepada teknologi GPS menggunakan peranti Internet of Things (IoT) Android dan iPhone ialah Waze, Maps.me, OSMAnd Maps & Navigation, MotionX GPS, GPS Navigation & Maps Sygic, Verizon VZ Navigator, CoPilot GPS Sat-Nav Navigation, MapFactor GPS Navigation Maps, Navigon USA dan Navmii.

Satu persoalan yang ingin penulis lontarkan ialah adakah aplikasi Waze itu baik untuk perkembangan otak dan daya ikhtiar kehidupan manusia?

ALLAH memberi peringatan supaya berhati-hati dan berwaspada supaya ia tidak disalah guna bagi memudaratkan orang lain sebagaimana tercatat dalam Surah Al-Baqarah bermaksud: “Bukanlah menghadapkan wajah kamu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada ALLAH, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.

Kesimpulannya, penulis percaya teknologi GPS dan aplikasi pelbagai navigasi mampu memberi maklumat awal dan tepat kepada pengguna untuk merencana perjalanan bagi mengelak permasalahan.

Namun, penulis bimbang teknologi itu tidak mampu melahirkan insan yang hebat daripada segi kemampuan daya ikhtiar kehidupan.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor