Pelajar tahfiz angkut air guna bot

Pelajar sekolah Menengah Agama dan Tahfiz al- Quran Jabatan Agama Islam Melaka (SMATQ, JAIM) Pulau Besar bergotong-royong mengangkut bekalan air bersih dari sebuah bot laju.
A
A

MELAKA TENGAH - Pelajar Sekolah Menengah Agama dan Tahfiz al-Quran (SMATQ) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pulau Besar di sini yang terputus bekalan air bersih terpaksa bergotong-royong mengangkut air sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan, situasi itu bukan pertama kali berlaku sejak sekolah berkenaan dibuka di pulau itu.

Sumber berkata, kira-kira 40 tong air diangkut menggunakan bot laju ke jeti umbai sebelum dibawa semula ke tepi bangunan sekolah.

"Pelajar di situ kemudiannya bergotong-royong mengangkut air itu untuk kegunaan minuman dan makanan warga sekolah tersebut.

"Masalah itu selalu berlaku. Nasib baik pelajar baru sahaja selesai menjalani peperiksaan dan ada waktu lapang untuk membantu mengangkut air.

"Saya difahamkan keadaan ini berlaku kerana masalah kerosakan dan kebocoran saluran paip Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB)," katanya.

Tong air yang digunakan untuk menyimpan bekalan air bersih.
Tong air yang digunakan untuk menyimpan bekalan air bersih.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Azhan Md Samat berkata, pihaknya berharap ibu bapa dan pelajar bersabar dengan kesulitan yang terpaksa dihadapi sebelum sesi persekolahan tamat tahun ini.

Menurutnya, Ketua Menteri, Adly Zahari juga telah memutuskan untuk memindahkan pengurusan dan warga sekolah terbabit ke Kompleks Al-Kawarizmi, Tanjung Bidara tahun depan.

"Kita prihatin dengan isu ini dan akan mula memindahkan barang-barang bermula hujung tahun ini," katanya.

Katanya, beberapa faktor lain seperti keselamatan pelajar juga diambil kira jika berlaku sebarang kecemasan.

"Setakat ini kompleks (Al-Kawarizmi) dilihat sebagai lokasi strategik dan kondusif dan berpindah menjadi keutamaan kita ketika ini," katanya.

Difahamkan bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka PKNM akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk diwakafkan.