Kes jenayah komersial rekod kerugian RM5.8 bilion

Abdul Hamid menyampaikan plak penghargaan kepada Ir Abdul Rahim pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersil bertemakan 'Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2019' di Universiti Malaya hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid menyampaikan plak penghargaan kepada Ir Abdul Rahim pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersil bertemakan 'Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2019' di Universiti Malaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 21,862 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara membabitkan kerugian berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 20,913 kes atau 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 47.2 peratus membabitkan kes pinjaman tidak wujud, e-belian, ‘Macau Scam’ dan ‘African Scam’ yang menggunakan internet sebagai medium untuk mencari mangsa.

“Disebabkan itu, kita melihat wujud keperluan untuk menyebar ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan jenayah siber,” katanya pada ucapan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersial: Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2010 di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, di sini tadi.

Abdul Hamid berkata, perlaksanaan persidangan itu adalah bertepatan untuk dijadikan sebagai pendekatan terbaik untuk memahami trend strategi dalam menangani ancaman jenayah siber.

"Arus deras modenisasi menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah siber masa kini yang menuntut kita untuk berfikir di luar jangkaan bagi mendepani cabaran ‘dunia baharu’ ini.

"Adanya persidangan sebegini, kita boleh mendedahkan kepada masyarakat mengenai sisi gelap alam maya selain memperkasakan kemahiran pegawai polis khususnya bagi mengendalikan kes jenayah siber,” katanya.

Persidangan yang berlangsung semalam dan hari ini membabitkan seramai 380 peserta terdiri daripada pegawai kanan polis, ahli akademi, pakar industri dan orang awam.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim.