Turki tangkap isteri al-Baghdadi

Asma Fawzi Muhammad Al-Qubaysi dipercayai isteri pertama al-Baghdadi ditahan Turki dalam sebuah operasi di wilayah Hatay pada Jun 2018.
Asma Fawzi Muhammad Al-Qubaysi dipercayai isteri pertama al-Baghdadi ditahan Turki dalam sebuah operasi di wilayah Hatay pada Jun 2018.
A
A
A

ISTANBUL - Turki telah menangkap salah seorang daripada isteri Abu Bakr al-Baghdadi selepas ia menahan beberapa ahli keluarga pemimpin Daesh terbabit termasuk kakak sulungnya beberapa hari lalu.

Semalam, Presiden Recep Tayyip Erdogan turut mengesahkan berita kematian al-Baghdadi seperti yang diumumkan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada bulan lalu.

"Seperti yang anda tahu, al-Baghdadi meletupkan dirinya bersama dua anaknya di dalam terowong ketika operasi dilancarkan pasukan operasi khas AS di barat laut Syria," katanya ketika berucap di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Ankara.

Menurutnya, Ankara juga telah mengambil langkah menjejaki ahli keluarganya.

Erdogan bagaimanapun tidak mendedahkan nama isteri atau memberi butiran lanjut tentang penangkapan tersebut.

Difahamkan, al-Baghdadi dipercayai mempunyai empat isteri namun tidak dapat dipastikan siapa antara mereka yang masih hidup.

Sebelum ini, pegawai di AS memaklumkan tiga wanita turut terbunuh dalam operasi itu yang dilancarkan pada malam 26 Oktober lalu.

Tetapi mereka tidak mengesahkan sama ada mereka yang terkorban itu adalah isteri-isterinya. - Agensi

Artikel Berkaitan: