LUAS, JPS siapkan laporan penuh insiden buang sampah di Sungai Klang

Lori dikesan membuang sampah di Sungai Klang menerusi video yang tular terbabit.
Lori dikesan membuang sampah di Sungai Klang menerusi video yang tular terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menyiapkan laporan lengkap susulan kejadian pembuangan sampah di tepi Sungai Klang berhampiran Taman Medan di sini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pihaknya sedang melaksanakan tindakan susulan bagi menangani isu terbabit.

Beliau berkata, kejadian sama pernah dilaporkan berlaku sebelum ini termasuk melibatkan Sungai Damansara.

"Kita sudah meminta LUAS dan JPS menyerahkan laporan penuh selepas ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini bagi mengulas mengenai penularan video perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu lori yang dirakam sedang membuang sampah di kawasan terlibat.

Difahamkan, terdapat pihak yang menjaga kawasan terbabit dan hanya membenarkan lori tertentu sahaja masuk ke kawasan itu untuk membuang sampah berkenaan.

Izham turut mengakui perkara itu dan memaklumkan modus operandi berkenaan sudah lama digunapakai oleh pihak tidak bertanggungjawab itu bagi menjalankan kegiatan terbabit.

"Kawasan ini ada sindiket malah ia sudah lama berlarutan di mana ada orang-orang tertentu yang menjaga laluan tersebut,"katanya.

Beliau kesal kerana pihak terbabit tidak mahu mengeluarkan kos melupuskan sampah dengan cara betul manakala sungai di negeri ini sedang berhadapan isu pencemaran.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tindakan lebih tegas perlu dilaksanakan selepas ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

"Kita pernah sita lori-lori sebegini sebelum ini namun ia masih berulang. Maknanya kita perlu kenakan tindakan lebih tegas," katanya.