Hobi basikal lajak boleh disalur cara positif: Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan hobi kumpulan basikal lajak boleh disalurkan dengan cara yang lebih positif dan bermanfaat tanpa bertindak mendiskriminasi dan mengenepikan mereka.

Justeru, bukan sahaja mendekati kelompok terbabit malah kementerian itu menganjurkan latihan khusus kepada kumpulan yang berminat dengan sukan basikal dengan menyediakan litar yang sesuai dan alat keselamatan lengkap.

Menurut Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain bengkel latihan serta pelatih profesional, beliau turut menyarankan individu gemar mengubahsuai basikal lajak dihantar ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).

“Mereka ada dua kategori, di mana yang pertama adalah mereka yang suka mengubahsuai. Mereka ini kita boleh masukkan dalam IKBN dan IKTBN untuk mempelajari kimpalan dan sebagainya.

“Golongan kedua adalah mereka yang suka menguji kelajuan (need for speed). Tapi tak boleh lah jika tak ada brek. Apabila buat pertandingan basikal terbaik, kita pastikan ciri keselamatan tidak diabaikan.

"Jika yang suka berbasikal secara laju, kita sediakan ‘stationary equipment’ yang mana dia boleh uji kelajuan tanpa perlu guna jalan yang berbahaya pada waktu malam,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Menurut Syed Saddiq, adalah penting untuk memastikan minat kumpulan pemain basikal lajak disalurkan ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat.

“Ini sesuatu yang KBS sudah lakukan sebelum insiden kemalangan membabitkan basikal lajak. Kita sudah laksanakan banyak bengkel latihan kepada kumpulan basikal lajak.

Artikel Berkaitan:

“Tidak cukup sekadar sediakan litar kerana aspek keselamatan tak diutamakan. Basikal yang mereka ubah suai tiada brek, tidak gunakan peralatan keselamatan serta dipandu di kawasan berbukit.

“Jadi kita sediakan peralatan basikal pegun untuk mereka gunakan, yang mana ia dapat membina otot dan kelajuan, sekali gus melatih mereka menjadi pelumba basikal Malaysia satu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia Dan Sukan itu juga turut mendapatkan pandangan beberapa pihak berhubung inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi menyalurkan minat kumpulan basikal lajak, tanpa mengenepikan aspek keselamatan.