Terminal Feri Antarabangsa Kukup dibuka semula hari ini

Sahruddin (kanan) menunggu penumpang feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup pada hari pertama pembukaan semula terminal terbabit hari ini.
Sahruddin (kanan) menunggu penumpang feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup pada hari pertama pembukaan semula terminal terbabit hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup hari ini selepas penutupan sementara sejak 1 September lalu, membuktikan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Indonesia.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, hubungan baik tersebut terbukti apabila pemerintah Indonesia di Kepulauan Tanjung Balai memberi kebenaran feri dari Kukup berlabuh di sana.

"Surat pengesahan kebenaran berlabuh diterima kerajaan negeri kira- kira jam 5.50 petang semalam.

"Jadi hari ini jam 3.30 petang, feri pertama dari Tanjung Balai sampai ke Kukup," katanya ketika di Terminal Feri Antarabangsa Kukup di sini petang tadi.

Saharuddin berkata, kerajaan negeri bersetuju menyerahkan operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup kepada Perbadanan Awam Johor( PAJ) dengan perkhidmatan awal secara berperingkat dengan lima slot perkhidmatan awal sehari.

"Pada peringkat awal ini, lima slot perkhidmatan feri sehari beroperasi dari Kukup ke Tanjung Balai pada jam 8 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari, 2 petang dan 5 petang, manakala di Tanjung Balai juga menawarkan lima slot ke Kukup pada jam 7.45 pagi, 9 pagi, 11 pagi, 1.30 pagi dan 3 petang waktu Indonesia Barat," katanya.

Dianggarkan lebih kurang 13,000 penumpang sebulan menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk ke Tanjung Balai.

Terdahulu, operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dihentikan sementara pada 1 September lepas dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri.

Artikel Berkaitan:

Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, pada 1 November lalu, terminal berkenaan dijadualkan dibuka semalam, namun terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibuka pada hari ini.