Berpura-pura jadi pelanggan

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, semalam
A
A

SHAH ALAM - Beberapa tukang masak di sebuah restoran berpura-pura menjadi pelanggan dengan cuba menanggalkan apron untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun lakonan itu gagal mengaburi mata anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor

apabila mereka ditahan ketika operasi bersepadu di sembilan premis perniagaan sekitar Bukit Jelutong dan Setia Alam, petang semalam.

Pengarah JIM Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, seramai 31 warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, operasi membabitkan restoran, kedai runcit dan perkhidmatan mencuci kenderaan.

“Ketika serbuan dilakukan terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri dan berpura-pura menjadi pelanggan.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada pendatang asing menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS). Ada juga yang memberi alasan terpaksa bekerja kerana tidak mempunyai wang untuk balik serta kesempitan hidup di negara asal bagi mendapatkan simpati anggota operasi,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia di antara 20 hingga 40 tahun membabitkan warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

"Kesemua mereka dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Siasatan juga akan tertumpu kepada majikan yang menggaji PATI. Mereka juga akan dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah,” katanya.