Syor nelayan bentuk persatuan jaga kawasan tangkapan

Zaki (kanan) dan Thomas (dua dari kanan) menyerahkan jaring ikan kepada nelayan darat yang terlibat di daerah Kampar.
Zaki (kanan) dan Thomas (dua dari kanan) menyerahkan jaring ikan kepada nelayan darat yang terlibat di daerah Kampar.
A
A
A

KAMPAR - Jabatan Perikanan Perak mencadangkan semua nelayan darat khususnya di kawasan Parlimen Kampar membentuk komuniti sendiri mahupun persatuan untuk menjaga kawasan tangkapan ikan.

Pengarahnya, Zaki Mokri berkata, isu membabitkan nelayan darat banyak tertumpu kepada kawasan tangkapan ikan yang terhad walaupun beberapa kawasan lombong dan tasik telah diwartakan untuk tujuan itu.

Menurutnya, terdapat aktiviti-aktiviti di kawasan lombong berkenaan yang sukar dikawal selain masalah perebutan kawasan menangkap ikan.

"Kita harap nelayan buat satu komuniti atau kelab untuk jaga kawasan-kawasan ini. Apabila mereka bergerak dengan komuniti, senang nak bagi bantuan.

"Mereka boleh kumpulkan lima atau enam orang untuk jaga satu lombong dan jabatan akan beri bantuan dalam bentuk benih ikan untuk tambah sumber ikan di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan jaring kepada nelayan darat di Parlimen Kampar, di Mambang Diawan, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kampar, Mohd Azlan Helmi.

Sementara itu Thomas berkata, pihaknya turut mengambil berat masalah dihadapi nelayan darat.

Menurutnya, masalah kekurangan kawasan pencarian ikan disebabkan pelbagai faktor seperti pembangunan dan pencerobohan kawasan lombong.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sudah berusaha merizab kawasan lombong ini untuk tujuan penangkapan ikan bagi nelayan darat tetapi berlaku pencerobohan pihak-pihak tertentu.

"Saya akan berbincang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kampar untuk selesaikan isu ini," katanya.

Pada majlis itu, seramai 90 nelayan darat menerima bantuan jaring ikan.