Cabar hak imuniti: Permohonan Sundra Rajoo didengar 20 November ini

Sundra Rajoo- Foto Bernama
Sundra Rajoo- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan semakan kehakiman difailkan bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Datuk Dr N. Sundra Rajoo untuk mencabar haknya mendapat imuniti daripada sebarang pertuduhan, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, 20 November ini.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan empat responden, Kementerian Luar, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya, yang membuatkan keputusan tersebut dalam kamar, memutuskan bahawa tidak ada keadaan khas untuk menangguhkan pendengaran itu.

Peguam Datuk Abdul Shukur Ahmad, yang mewakili Sundra Rajoo, 63, ketika ditemui media berkata, keempat-empat responden itu memohon untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Sundra Rajoo untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar hak mendapat imuniti daripada sebarang pertuduhan.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel tiga hakim, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Sundra Rajoo terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Mac lalu yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Sundra Rajoo, yang memegang jawatan pengarah AIAC dari tahun 2010 hingga tahun lalu memfailkan prosiding semakan kehakiman pada 4 Mac lalu, dengan memohon satu pengisytiharan bahawa beliau mempunyai imuniti terhadap sebarang tindakan yang dilakukan dalam kapasiti beliau sebagai pegawai tinggi AIAC.

Beliau juga memohon satu perintah bagi peruntukan menghalang Peguam Negara daripada meletakkan sebarang dakwaan atau membawa sebarang prosiding ke mana-mana mahkamah di Malaysia terhadap beliau berhubung dengan sebarang tindakan yang dilakukannya dalam kapasiti beliau sebagai pengarah AIAC.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memohon satu perintah bagi peruntukan menghalang SPRM daripada menangkap, menahan, menyerahkan sebarang surat waran atau lain-lain ataupun mengemukakan sebarang prosiding undang-undang atas apa-apa terhadapnya berhubung apa-apa yang dilakukan beliau dalam kapasiti sebagai pengarah AIAC, dan terutama lagi berhubung sebarang tindakan atau pengabaian olehnya semasa tempoh memegang jawatan sebagai pengarah pusat itu yang berkaitan dengan harta, dana atau dokumen pusat berkenaan.

Pada 26 Mac lalu, Sundra Rajoo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dana AIAC berjumlah RM1,011,367.50 antara 8 Disember 2016 dan 17 Ogos 2018.

- Bernama