Warga Myanmar parah ditetak rakan

Suspek yang ditahan untuk membantu siasatan selepas menetak rakannya.
A
A

NILAI - Seorang lelaki warga Myanmar cedera parah di kepala, tangan dan tapak tangan selepas ditetak rakannya warga Pakistan akibat salah faham Selasa lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari di Kampung Sungai Machang Ulu, Lenggeng selepas mangsa, Muhammad Hosin, diajak rakannya memotong rumput di sebuah kebun.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa dipercayai ditetak ketika sedang memotong rumput di kebun berkenaan.

Menurutnya, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki warga asing sedang mengamuk dan mencederakan seorang pemotong rumput.

“Siasatan awal mendapati berlaku salah faham antara mereka sebelum suspek bertindak menetak mangsa menggunakan parang mengakibatkan luka di antara lima hingga 15 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan manakala suspek ditahan untuk siasatan dan parang yang digunakan untuk menetak mangsa turut dirampas.

Katanya, mangsa adalah pemegang kad UNHCR dan sudah menetap di Kajang, Selangor sejak lima tahun lalu serta bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM60 sehari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.