'Bantuan nelayan Tanjung Piai cubaan rasuah pengundi'- Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan berhubung isu rasuah yang berlaku sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Gesaan itu dibuat ekoran pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bahawa nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.

“Ini pun satu lagi kebetulan. Kalau dahulu Pakatan Harapan (PH) kata rasuah politik, sekarang bila sudah berkuasa semuanya halal.

“Sudah banyak laporan polis dibuat, harap SPR dan pihak SPRM dapat ambil tindakan segera jika tidak mahu dilihat hilang kredibiliti,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, perbuatan tersebut jelas bercanggah dan menyalahi Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, akta itu menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak berjanji memberikan balasan wang atau sesuatu bernilai kepada pengundi bagi mendorong mereka memilih mana-mana calon.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda antara RM1,000 hingga RM5,000.

Terdahulu, dilaporkan terdapat dakwaan segelintir masyarakat nelayan di Tanjung Piai bahawa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016 masih belum diterima sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan itu antara lain memaklumkan bahawa nelayan telah diberikan wang ihsan sebanyak RM2,000 pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum dijanjikan RM1,000 oleh kerajaan PH.