Jabatan Kesihatan nafi lewat bedah UAI sebab masalah elektrik

Dr Mohd Jusoh
Dr Mohd Jusoh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Terengganu menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa pembedahan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus tertangguh kerana masalah elektrik.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada masalah gangguan bekalan elektrik di Dewan Bedah Orthopedik HSNZ atau mana-mana lokasi di dalam HSNZ.

Menurutnya, Azhar telah menerima rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSNZ pada 4 November lalu, jam 6.40 petang.

“Pesakit dijadualkan membuat pembedahan pada keesokan harinya (5 November) setelah dirujuk kepada Pakar Perunding Ortopedik.

“Disebabkan pesakit mengalami kepatahan yang kompleks, pembedahan perlu dilakukan oleh Pakar Perunding Ortopedik dan memerlukan implan khas yang perlu dibawa oleh pembekal dari Kuala Lumpur.

“Pembedahan telah dijalankan ke atas pesakit oleh pasukan pakar bedah ortopedik pada 5 November dan berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Azhar Idrus jalani pembedahan sambung tulang lengan

Beliau turut memberitahu, pihaknya dan HSNZ sentiasa berusaha untuk memastikan kemudahan rawatan perubatan yang terbaik dapat diberikan kepada semua pesakit.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Azhar dilaporkan patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal sebaik selesai menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar Kuala Terengganu pada 4 November lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 6.30 petang setelah basikal yang ditunggang beliau tiba-tiba berhenti mengejut, menyebabkan penceramah itu terjatuh.

Sementara itu, Facebook rasmi Ustaz Azhar Idrus (Original) turut membuat pembetulan terhadap laporan sebelum ini berkenaan kelewatan pembedahan penceramah tersebut dan memaklumkan terdapat kesilapan fakta.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Azhar Idrus cedera terjatuh ketika berbasikal