Agong dianugerah ‘AFC Diamond of Asia’

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan menerima persembahan anugerah AFC Diamond of Asia daripada Shaikh Salman pada majlis menerima menghadap Presiden AFC dan persembahan anugerah itu di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan menerima persembahan anugerah AFC Diamond of Asia daripada Shaikh Salman pada majlis menerima menghadap Presiden AFC dan persembahan anugerah itu di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dianugerahkan ‘AFC Diamond of Asia’ yang berprestij sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda selama lebih tiga dekad terhadap permainan bola sepak di benua ini.

Anugerah tertinggi bola sepak Asia itu disampaikan kepada Al-Sultan Abdullah oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa di Istana Negara di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang merupakan penerima ke-15, menuruti jejak Almarhum ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, penerima pada 2011, merupakan satu-satunya gabungan ayah dan anak lelaki yang menerima anugerah tertinggi itu dalam sejarah bola sepak Asia.

Dalam satu kenyataan, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyatakan bahawa Al-Sultan Abdullah mengembangkan minat dalam bola sepak sejak usia muda dan kesannya penting dalam meningkatkan standard permainan itu di Asia.

“Bola sepak merupakan darah daging saya sejak kecil dan adalah satu penghormatan untuk berada dalam senarai penerima di kalangan personaliti tersohor dan lagenda dalam bola sepak Asia,” titah baginda yang dipetik dalam kenyataan itu.

Sebagai penghormatan kepada Almarhum ayahanda baginda, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda sukacita dapat memberi penghormatan terhadap legasi ayahanda baginda yang telah banyak menyumbang terhadap bola sepak di Malaysia dan Asia.

“Baginda merupakan sumber inspirasi beta dan kepada baginda beta mendedikasikan anugerah ini,” titah Al-Sultan Abdullah yang turut memberi penghormatan kepada rakan-rakan yang mengorbankan masa dan nasihat bernas mereka sepanjang tahun serta membawa bola sepak Asia ke tempatnya sekarang.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan menerima mengadap Presiden AFC, Shaikh Salman di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan menerima mengadap Presiden AFC, Shaikh Salman di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

"Kita telah membuat langkah besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan saya yakin bahawa AFC akan terus menyebarkan kegembiraan permainan, menyatukan dan mempelbagaikan komuniti serta membina asas yang kukuh untuk meneruskan kejayaan yang lebih besar dalam tahun-tahun yang akan datang," titah baginda.

Dikenal sebagai salah satu suara yang paling progresif di dalam bola sepak Malaysia dan Asia, AFC menegaskan bahawa Seri Paduka teguh dalam menegakkan keutuhan permainan dan meletakkan asas dalam usaha menentang manipulasi perlawanan ketika baginda sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1994.

Seri Paduka terus berkhidmat sebagai naib presiden sehingga tahun 2007 dan sekali lagi, dari 2010 hingga 2014, sebelum memegang jawatan presiden pada tahun 2014, di mana baginda memperkenalkan pelbagai program komprehensif untuk meningkatkan dan membangunkan sukan itu di negara ini.

Dipilih sebagai Naib Presiden AFC pada 2002, baginda mendedikasikan hampir 20 tahun perkhidmatan cemerlang dalam beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penganjur untuk AFC Asia Cup Australia yang sangat berjaya pada 2015, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal AFC serta Anggota Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Dianggap sebagai cahaya panduan bukan sahaja untuk bola sepak Asia tetapi juga untuk sumbangan terhadap bola sepak dunia, baginda dipilih ke Majlis FIFA pada 2015 di mana baginda berkhidmat sehingga 2019.

Kenyataan itu juga memetik khidmat baginda sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal FIFA pada 1995, Jawatankuasa Pemuda FIFA dan Jawatankuasa Penganjur Konfederasi Piala FIFA di Perancis pada tahun 2003.

Shaikh Salman berkata: "Kami telah diperkaya dan menerima banyak ilham oleh perkhidmatan baginda yang berdedikasi dan kami amat berbangga untuk memberi penghormatan kepada baginda hari ini." - Bernama