'Abdoul Hakeem suruh saya buat sekali’

Keluarga Allahyarham Zulfarhan berada di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum perbicaraan bermula.
A
A

KUALA LUMPUR - “Abdoul Hakeem suruh saya ‘buat sekali’ tetapi saya terkejut dengar jeritan Zulfarhan, saya terus lepaskan seterika wap di meja,” kata tertuduh ketiga perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada prosiding itu, Muhammad Najib Mohd Razi, 23, berkata, dia yang baru tiba di bilik itu selepas mengulang kaji pelajaran diarahkan untuk ‘buat sekali’ oleh tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali selepas seseorang menyerahkan seterika berkenaan.

Muhammad Najib: Saya tak dapat bayang apa-apa perasaan sebab waktu itu saya sangat mengantuk. Saya balik ke bilik hanya untuk tidur.

Peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon: Selepas itu kamu ke katil sambil pakai fon telinga dan tidur?

Muhammad Najib: Benar Yang Arif.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama, Muhammad Najib berkata, pada 21 Mei 2017, dia tiba di bilik selepas sesi perbarisan jam 12.30 tengah malam.

Setibanya di bilik katanya, dia mendapati ramai kadet tentera lain berada di lokasi berkenaan, maka dia membuat keputusan untuk mengulang kaji pelajaran di bilik lain bersama rakan sehingga jam 4.55 pagi.

Selesai ulang kaji Muhammad Najib berkata, dia pulang semula ke biliknya, namun dihalang oleh Abdoul Hakeem dan ketika itulah dia diarahkan untuk ‘buat sekali’ dan seseorang menyerahkan seterika wap berkenaan.

Sementara itu ketika disoal, Muhammad Najib tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela tertuduh keenam, Zambri Idrus bahawa dia berbohong.

Zambri: Saya cadangkan awak mengaitkan Abdoul Hakeem kerana awak berbohong dan ia adalah fitnah jahat dan dendam awak terhadap tertuduh.

Muhammad Najib: Tidak Yang Arif.

Manakala ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berhubung tujuan Abdoul Hakeem mengeluarkan kenyataan ‘buat sekali’, Muhammad Najib berkata, dia tidak mengetahui maksud ayat berkenaan.

Muhammad Najib yang juga anak sulung daripada enam beradik tidak bersetuju dengan cadangan Julia, Zulfarhan menjerit kerana seterika berkenaan terkena pada tubuhnya.

Julia: Awak kata pada peguam tertuduh keenam, ketika itu awak berada dalam keadaan waras dan tiada masalah mental. Setuju tak jika saya katakan, awak sebenarnya tahu dengan maksud ‘buat sekali’ dan suruh awak tekap 'iron' pada Zulfarhan.

Muhammad Najib: Saya tak tahu.

Pada 31 Julai lalu Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 penuntut UPNM yang terlibat dalam kematian Zulfarhan untuk membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Azman berkata, selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie ke atas kes yang dituduh.

Enam daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, kesemuanya berusia 23 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, keenam-enam mereka bersama 12 lagi turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Seramai 12 penuntut lain yang kesemuanya berumur 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagaimanapun 'rahmat' bagi Muhammad Akmal Akif Alias, apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman Abdullah disambung 3 dan 4 Disember ini.