Perkhidmatan pelesenan APAD beroperasi Isnin ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Semua perkhidmatan pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] akan beroperasi mulai Isnin ini.

Kementerian Pengangkutan berkata, semua permohonan berkaitan lesen pengendali perkhidmatan yang telah dan akan diterima akan diproses oleh Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) mulai dari tarikh tersebut.

Selain itu, semua syarat peraturan dan tatacara permohonan berkaitan lesen pengendali perkhidmatan yang telah ditetapkan sebelum ini masih berkuatkuasa sepenuhnya, menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut proses permohonan dan pelesenan kenderaan komersil oleh APAD akan mula dilaksanakan di kaunter-kaunter pejabat APAD di Kelana Jaya, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan kaunter-kaunter APAD yang disediakan di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.

"Sebagai makluman, operasi hanya akan melibatkan transaksi tunai sahaja di mana APAD akan meneruskan penggunaan prosedur dan kaedah-kaedah permohonan dan pelesenan yang digunakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini sepanjang tempoh transisi sehingga dimaklumkan kelak," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kementerian berkenaan mengumumkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APAD, Azlan Shah Parames Albakri dilantik untuk melaksanakan semua fungsi, tanggungjawab dan kuasa Ketua Pengarah APAD mulai 3 Januari sehingga ke satu tarikh di mana jawatan berkenaan diisi secara hakiki. - Bernama

Artikel Berkaitan: