Pesara didakwa simbah isteri dengan air panas

Tertuduh mengaku tidak bersalah menyimbah air panas kepada isterinya sehingga cedera di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah menyimbah air panas kepada isterinya sehingga cedera di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana didakwa menyimbah air panas kepada isterinya sehingga cedera tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Che Ismail Che Ibrahim, 56, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimbah air panas kepada isterinya, Zarina Muhammad, 49, di sebuah rumah di Kampung Kedai Kepong Loji Air Kepong di sini kira-kira jam 9 pagi pada 21 Ogos 2018.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa bertanyakan mengenai alat mainan disyaki digunakan untuk melampiaskan nafsu yang disimpan tertuduh.

Artikel Berkaitan: