Polis Kelantan perketat kawalan sempadan

Simulasi menyelamat mangsa banjir yang diadakan pada penutupan Majlis Kursus Asas Pengendali Bot Enjin Sangkut di Tumpat tadi.
A
A

TUMPAT - Polis Kelantan sentiasa perketatkan kawalan sempadan negara susulan insiden berbalas tembakan yang mengorbankan 15 nyawa dan lima cedera di Yala, Thailand kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek boleh membolosi sempadan dan mengambil langkah awal meningkatkan kawalan.

Menurutnya, pihaknya mengetahui berhubung tragedi itu dan mengambil serius terhadap insiden walaupun mangsa tidak membabitkan rakyat dari negara ini.

“Pihak berkuasa Thailand tidak ada menghubungi kami secara formal, namun sedia maklum tentang maklumat tragedi itu.

“Kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan sempadan kerana tidak mustahil suspek lari ke sini (Kelantan),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penutup Kursus Asas Pengendali Bot Enjin Sangkut Peringkat Kontinjen Kelantan Siri 1/2019 di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di sini.

Pada majlis itu, sejumlah 49 anggota polis menyertai kursus selama sembilan hari dan menerima sijil kendalian bot.

Hasanuddin berkata, dalam kes melibatkan negara jiran itu, pihaknya akan sentiasa merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Kami sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada semua pihak berdasarkan arahan dari Bukit Aman terlebih dahulu, cuma saya ingin nasihatkan seperti kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, seeloknya elakkan daripada berkunjung ke Thailand seketika demi keselamatan,” katanya.

Kawalan di sempadan negara sentiasa diperketatkan daripada dibolosi.
Kawalan di sempadan negara sentiasa diperketatkan daripada dibolosi.

Semalam, Mohd Amar menasihatkan rakyat mengelak dari berkunjung ke negara jiran itu dan berhati-hati sekiranya terpaksa berada di sana.

Akhbar sebelum melaporkan sejumlah 15 terbunuh, manakala lima cedera dalam insiden berbalas tembakan di pusat pemeriksaan keselamatan di wilayah selatan Thailand lewat malam kelmarin.

Jurucakap pasukan keselamatan wilayah, Kolonel Pramote Prom-in memaklumkan, empat sukarelawan pertahanan kampung turut cedera dalam kejadian di Yala itu.

Penyerang dikatakan menggunakan alat letupan dan menabur paku di atas jalan bagi menghalang pihak berkuasa memburu mereka.

Serangan didakwa didalangi puak pemisah dan paling besar setakat ini.