Pendakwaan kes Najib, Arul Kanda mohon mengosongkan tarikh perbicaraan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy telah memohon untuk mengosongkan tarikh perbicaraan kes tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini menetapkan dari 18 hingga 29 November 2019 dan 13 Januari hingga 17, 2020 untuk perbicaraan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwa berkata, ini kerana saksi utama yang akan dipanggil dalam kes itu sedang memberi keterangan di bawah pemeriksaan balas dalam perbicaraan Najib yang melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB (kes 1MDB).

"Salah seorang daripada saksi utama kami yang perlu dipanggil sebagai saksi pertama kini di bawah pemeriksaan balas dalam kes 1MDB dan menurut petunjuk (oleh peguam) semalam, ia tidak mungkin dapat diselesaikan pada 14 November," katanya semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Sri Ram berkata, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 66, menyatakan semalam bahawa tidak mungkin pemeriksaan balas terhadap saksi (bekas Ketua Pegawai 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) dalam kes 1MDB akan selesai pada 14 November.

Beliau berkata, akan menjadi prasangka terhadap kes pendakwaan jika saksi itu dipanggil semasa dia masih memberi keterangan dalam kes 1MDB.

"Saksi itu sangat penting untuk kes ini dan saya juga memerlukan masa untuk menyediakan pernyataan pembukaan (untuk kes ini)," katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee tidak membantah permohonan untuk mengosongkan tarikh perbicaraan itu dan mengatakan bahawa ia adalah satu kelebihan untuk memberinya lebih banyak masa.

Artikel Berkaitan:

"Saya agak berkecuali mengenai perkara ini kerana saya fikir terdapat kelebihan, selagi saya tidak mengendalikan kedua-dua kes secara serentak," katanya.

Mahkamah menetapkan 13 November untuk membuat keputusan sama ada membenarkan permohonan pendakwaan untuk tarikh perbicaraan dikosongkan.

Peguam Jasmine Cheong mewakili Arul Kanda, 43.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan agar kedua-dua kes didengar secara bersama.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai pegawai awam iaitu sebagai Perdana Menteri, dengan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kepuasan untuk dirinya sendiri, yang menghindari tindakan disiplin, sivil atau jenayah terhadapnya berkaitan dengan 1MDB, dengan memerintahkan perubahan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, di mana beliau mempunyai kepentingan langsung.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari dan 26 Feb 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu untuk melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah. - Bernama