Kos, pelaksanaan ART ditentukan selepas kajian terperinci

Dr Jerip Susil
A
A

KUCHING - Anggaran kos dan pelaksanaan Autonomous Rail Transit (ART) hanya dapat ditentukan selepas kajian terperinci dilakukan Dewan Undangan Negeri Sarawak dimaklumkan hari ini.

Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil berkata, kajian terperinci penting bagi memastikan sistem pengangkutan awam yang bersepadu, selamat, dipercayai, berpatutan dan mesra alam untuk ‘Greater Kuching’.

“Bagaimanapun, berdasarkan kajian awal, laluan ART merangkumi laluan Samarahan dari Taman Desa Ilmu ke Hikmah Exchange dan laluan Serian dari Batu 12 ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK), The Isthmus.

“Laluan itu dipilih berdasarkan objektif untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di Greater Kuching dan membangunkan kawasan pinggir bandar melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD),” katanya sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Jerip berkata, salah satu strategi bagi mempercepatkan pembangunan negeri adalah melalui inisiatif ‘Smart City’ dan komponen utamanya adalah ‘Smart Mobility’.

“Kerajaan negeri sedang melaksanakan sistem pengangkutan awam pintar, satu komponen ‘Smart Mobility’ yang berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan dan pembangunan Greater Kuching.

“Untuk tujuan ini, pelbagai jenis pengangkutan awam pintar sedang dipertimbangkan untuk pelaksanaan termasuk ART untuk Greater Kuching," katanya. - Bernama