Khabar angin sukarkan kesan Jho Low, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir - FOTO ROSLI TALIB
Dr Mahathir - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan banyak khabar angin mengenai ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low menyebabkan proses menjejakinya menjadi sukar.

Beliau juga bertegas tidak mengetahui di mana Jho Low berada walaupun terdapat beberapa maklumat siasatan didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador setakat ini.

"Saya tak boleh beri kenyataan seperti IGP (Abdul Hamid). IGP adalah IGP. Jika saya memakai pingat-pingat di uniform mungkin saya boleh beri kenyataan seperti IGP," katanya kepada pemberita pada Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke-15 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa kenyataan dibuat beliau (tidak tahu di mana Jho Low) tidak selari dengan pendedahan terbaru Abdul Hamid yang yakin Jho Low masih berada di negara persembunyian dan bersembunyi seperti seekor ayam.

Dr Mahathir menjelaskan, beliau hanya menerima laporan sekali sekala berhubung perkembangan siasatan menjejaki Jho Low.

"IGP tidak bagi tahu di mana Jho Low, jadi saya tidak tahu. Bukan setiap masa apabila beliau (Abdul Hamid) tahu kemungkinan di mana Jho Low berada, beliau telefon saya beritahu Jho Low di sini, Jho Low di situ..bukan begitu. Hanya sekali sekala dilaporkan kepada saya," katanya.

Ditanya apakah tindakan Malaysia apabila negara yang menyembunyikan Jho Low terus enggan memberi kerjasama, Dr Mahathir berkata, Malaysia perlu akur dengan kemampuan yang terhad.

"Kita sedar bahawa kita bukan negara yang kuat. Kadang kala orang mesra, kadang kala tidak. Jadi kita kena terima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia tetap berusaha keras bagi mendapatkan maklumat tepat menjejaki Jho Low.

"Bukan mudah untuk dapatkan maklumat. Saya difahamkan dia menggunakan beberapa pasport, membuat perubahan wajah...semua ini khabar angin. Saya tidak dapat buktikan tetapi mungkin boleh berlaku dan menyukarkan pencariannya," katanya.