X

Kindly register in order to view this article
!

TNB siap sedia hadapi tengkujuh

Baharin Din
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini sedang melakukan persiapan rapi menghadapi banjir selain bagi meminimumkan kerosakan pepasangan TNB sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pengedaran TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, bagi tujuan itu juga janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih di beberapa lokasi strategik juga telah dibuat selain mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah.

Menurutnya, lanjutan bencana banjir 2014, TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang berkenaan.

“Pasukan Bertindak Kecemasan bertugas 24 jam sehari juga akan digerakkan untuk melakukan penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharin berkata, bilik gerakan TNB akan dibuka di setiap negeri yang terbabit banjir bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan segera menghubungi kami di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

"Jauhi daripada menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Setelah banjir surut pengguna dinasihatkan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk pemeriksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus