Maqis tahan produk kraf dari Bali

Sebahagian barangan yang ditahan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
Sebahagian barangan yang ditahan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
A
A
A

LANGKAWI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan 40 unit produk kraf tangan berasaskan buluh dan rotan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Selasa lalu kerana tidak mempunyai permit import (IP) sah.

Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind berkata, produk dari Bali, Indonesia yang bertujuan untuk jualan itu dianggarkan bernilai RM800.

Menurutnya, produk itu tidak mempunyai permit import (IP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

"Perbuatan itu menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maqis sentiasa peka dan bersedia melaksanakan tanggungjawab mengawal kemasukan konsainan barangan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, haiwan, tumbuhan dan manusia serta menjamin industri pertanian negara dalam keadaan yang baik.

Artikel Berkaitan: