Selangor warta tujuh empangan

Loy Sian menjawab pertanyaan lisan pada sidang DUN yang berlangsung hari ini.
Loy Sian menjawab pertanyaan lisan pada sidang DUN yang berlangsung hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan kesemua tujuh empangan di negeri ini di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

Selain itu, sebanyak 413 daripada 1,026 batang sungai kini turut melalui proses pewartaan di bawah peruntukan sama.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, pewartaan itu bertujuan melindungi rizab sungai daripada gangguan atau pencemaran.

"Di samping itu, LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai amaran awal jika berlaku pencemaran," katanya pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke 14 hari ini.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung usaha kerajaan negeri menggelakkan pencemaran sungai berulang.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa bagi mengawal selia sungai di negeri ini bagi memastikan tahap kebersihannya terjamin.

Mengulas mengenai perkara itu, Loy Sian berkata, LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-Sungai Negeri Selangor dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bersama memulihara sumber itu.

"Pemantauan berkala dilaksanakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan juga sentiasa dilaksanakan melibatkan siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah,"katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sektiar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 1 Oktober lalu bagi mencadangkan penambahbaikan terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar Sekeliling berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.