Pembekal ayam dalang sindiket dadah

Arjunaidi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya dalam operasi berasingan di sekitar Klang, Isnin lalu.
Arjunaidi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya dalam operasi berasingan di sekitar Klang, Isnin lalu.
A
A
A

KLANG - Seorang pembekal ayam yang disyaki sebagai dalang kegiatan sindiket dadah ditahan dalam beberapa serbuan membabitkan rampasan mencecah RM1.76 juta, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dua lelaki termasuk dalang sindiket ditahan di kawasan parkir kereta berhadapan sebuah hotel di Persiaran Raja Muda Musa ketika serbuan pertama kira-kira jam 7 petang.

Menurutnya, selepas pemeriksaan polis menemui bungkusan plastik minuman mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.2 kilogram (kg) selain 20,000 biji pil ekstasi.

"Soal siasat membawa tangkapan seorang lagi lelaki di tepi jalan di sekitar Pelabuhan Klang.

"Pemeriksaan dalam kenderaan suspek jenis Honda CRV itu menemui sebuah beg plastik hitam berisi dua bungkusan mengandungi 10,000 biji pil ekstasi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.

Tambahnya, serbuan ketiga kira-kira jam 7.45 petang kemudian berjaya menahan tiga lelaki bersama seorang wanita warga asing di sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Antara dadah yang dirampas susulan tertangkap tujuh suspek dalam operasi berasingan di sekitar Klang, Isnin lalu.
Antara dadah yang dirampas susulan tertangkap tujuh suspek dalam operasi berasingan di sekitar Klang, Isnin lalu.

Arjunaidi berkata, semakan mendapati lima suspek lelaki tempatan itu memiliki pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek lelaki ini dipercayai berperanan sebagai pembantu kepada suspek utama manakala wanita warga asing itu adalah teman wanita kepada suspek utama.

"Polis percaya sindiket ini aktif sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan daripada sindiket lain dari Lembah Klang sebelum mengedarnya di pusat hiburan di sekitar daerah ini.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan ahli sindiket lain. Kesemua suspek kini direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.