169 notis amaran dikeluarkan

Low (kanan) menyaksikan proses pengeluaran notis amaran gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok di sebuah premis makanan di negeri itu pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan sekitar Hang Tuah Mall hari ini. - Foto Bernama
Low (kanan) menyaksikan proses pengeluaran notis amaran gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok di sebuah premis makanan di negeri itu pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan sekitar Hang Tuah Mall hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 169 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha kedai makanan menerusi 272 pemeriksaan yang dijalankan kerana gagal mempamerkan papan tanda atau poster larangan merokok di premis mereka sejak penguatkuasaan larangan berkenaan bermula Selasa lepas.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong berkata, jumlah berkenaan agak tinggi dan ia menunjukkan tahap kesedaran pemilik premis atau pengusaha makanan di negeri ini terhadap penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam terutama dalam bangunan masih rendah.

Beliau berkata, kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di premis makanan merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana promosi dan peringatan pelaksanaan penguatkuasaan larangan merokok ini telah dilakukan secara efektif dan besar-besaran menerusi pelbagai medium.

"Kebanyakan pengusaha atau pemilik premis makanan berkenaan mengambil mudah perkara ini dan menunggu saat akhir menaikkan papan tanda larangan merokok setelah notis dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan sekitar Hang Tuah Mall di sini, hari ini.

Low berkata, dalam tempoh itu juga, 28 perokok diberi amaran kerana merokok di premis makanan, masing-masing tujuh individu di sekitar daerah Melaka Tengah dan 21 orang di Jasin.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, 1,935 risalah berkaitan larangan merokok di tempat awam diedarkan di sekitar negeri ini bagi meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap penguatkuasaan larangan merokok terutama di premis makanan.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk pengusaha dan pemilik premis makanan serta orang awam diperlukan dalam usaha mempromosi larangan berkenaan khususnya dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan bermula Selasa lepas.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Kesihatan negeri juga akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala di premis makanan atau tempat awam di sekitar negeri ini sekurang-kurangnya dua kumpulan di setiap daerah yang dianggotai antara lapan dan 10 orang setiap kumpulan," katanya. - Bernama