Amaran palsu pesawat dirampas cetus panik!

Polis Belanda mengepung sebahagian lapangan terbang untuk menjalankan siasatan.
Polis Belanda mengepung sebahagian lapangan terbang untuk menjalankan siasatan.
A
A
A

AMSTERDAM - Lapangan Terbang Schiphol di Belanda gempar seketika selepas seorang juruterbang membunyikan penggera rampasan pesawat secara tidak sengaja sekali gus mencetuskan amaran keselamatan di kawasan itu.

Menerusi tweet yang dimuat naik polis Belanda kira-kira jam 7.30 malam (waktu tempatan) semalam, pihaknya memaklumkan situasi tersebut sedang disiasat.

Susulan itu, sebahagian lapangan terbang yang juga merupakan salah satu kawasan paling sibuk di Eropah ditutup bagi untuk tujuan siasatan.

Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian syarikat penerbangan Air Europa mengumumkan kejadian terbabit disebabkan juruterbang yang tidak sengaja menekan penggera berkenaan.

"Amaran palsu. Ketika penerbangan Amsterdam-Madrid hari ini, amaran yang mencetuskan protokol mengenai rampasan pesawat di lapangan terbang telah diaktifkan secara tidak sengaja.

"Tiada apa berlaku. Semua penumpang selamat dan sedang menunggu untuk penerbangan seterusnya. Maaf, segala kesulitan amat dikesali," tulis syarikat penerbangan itu di laman Twitter miliknya.

Tidak lama selepas pengumuman itu dibuat, polis Belanda mengesahkan semua penumpang dan kakitangan telah selamat dipindahkan daripada penerbangan yang ditangguhkan.

Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian lapangan terbang dikepung daripada orang ramai dan penumpang menunggu untuk mendapatkan maklumat terkini. - Agensi

Artikel Berkaitan: