Tak berbaloi tanam ganja: Pakar perubatan

Kiri: Dr Suhazeli Abdullah dan Dr Zubaidi Ahmad
Kiri: Dr Suhazeli Abdullah dan Dr Zubaidi Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Perubatan, Dr Suhazeli Abdullah menyifatkan cadangan penanaman ganja sebagai langkah tidak berbaloi kerana mengundang lebih banyak mudarat berbanding manfaat sekali gus mengakibatkan kerosakan negara.

Dr Suhazeli berkata, jika benar terdapat bukti seperti didakwa sesetengah pihak negara kita mempunyai badan berautoriti seperti National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).

"Ganja tidak lebih dan tidak kurang tarafnya dengan daun rama-rama atau durian belanda dalam dakwaan merawat kanser, kajian-kajian setakat ini kebanyakannya hanya atas piring pateri makmal dan tikus dan tidak pun melepasi fasa tiga dan empat kajian perubatan," katanya.

Menurutnya, alasan menanam ganja untuk kajian juga tidak munasabah kerana kajian perubatan boleh dilakukan oleh mana-mana pengkaji dalam negara.

"Ianya dengan syarat lulus etika kajian, setelah lulus etika, ganja boleh diperolehi dari negara jiran melalui prosedur tertentu," katanya.

Beliau menegaskan perkara yang amat membimbangkan kita adalah kecenderungan penyalahgunaan dadah tinggi.

"Ini kerana sistem penguatkuasaan negara masih belum mampu sepenuhnya, penguatkuasaan dadah narkotik seperti morfin, heroin, syabu, pil kuda pun masih belum berjaya sepenuhnya dan bebanan pihak berkuasa untuk penangkapan dan pemulihan makin bertambah.

"Sepatutnya KKM (Kementerian Kesihatan) lebih bersungguh menyuarakan isu ini jika ianya benar-benar banyak manfaat dalam perubatan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam soal ini, saya menyeru agar tiada penghalalan ganja dalam negara kita malah menutup pintu mudarat adalah lebih penting dari mendapatkan sedikit laba keuntungan jualan," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan akan membenarkan penanaman hem iaitu tumbuhan dari spesies ganja bagi tujuan penyelidikan industri namun kebenaran itu tertakluk mengikut Seksyen 6B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kementerian itu sedang menunggu kertas cadangan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan benar penanaman hem

Dalam pada itu katanya, sesetengah pihak memperjuangkan ganja sebagai entiti perubatan dengan dalil bahawa hem tersebut terdapat sedikit komponen kebaikan dari sudut perubatan.

"Tetapi perlu kita ambil pengajaran bersama bahawa kesan yang serius boleh berlaku jika negara kita menghalalkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja.

"Kita boleh melihat sendiri kesan negatif yang besar kepada negara-negara yang telah menghalalkan hem perubatan tersebut," katanya.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, kerajaan perlu membuat kajian secara menyeluruh terlebih dahulu.

Beliau berkata, walaupun hem dan ganja adalah dalam spesies yang berbeza namun kajian dan pengumpulan data lengkap perlu dibuat sebelum kerajaan menggalakkan penanaman spesies jenis itu.

“Sebab pada masa ini kita hanya mendengar sahaja, sebagai contoh negara jiran, Thailand yang dikatakan telah menggunakannya sebagai ubat dan pelbagai rawatan. Jadi kalau (negara) kita benar benar serius, saintis kita perlu belajar dari mereka.

“Kita perlu menghantar saintis saintis ini untuk melihat sendiri spesies yang digunakan dan bagaimana mereka menggunakan spesies itu untuk merawat pesakit,” katanya.