Hadiah tak dapat, duit RM35,000 lesap!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita sanggup 'melabur' RM35,000 semata-mata untuk menuntut hadiah hari jadi yang dikirim kenalan lelaki dari luar negara yang dikenali melalui aplikasi WeChat sejak lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun keterujaan kerani berusia 32 tahun dari Raub itu bertukar duka apabila hadiah lumayan yang kononnya sudah dikirim itu rupanya umpan sindiket penipuan untuk mendapatkan wang daripada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berkenalan dengan suspek menggunakan nama Michael Yang melalui aplikasi WeChat selepas menerima permintaan untuk menjadi rakan lelaki itu pada 29 September lalu.

Menurutnya, selepas seminggu berkenalan, lelaki itu berjanji akan menghantar hadiah bernilai tinggi untuk meraikan ulang tahun kelahiran mangsa yang jatuh pada 15 November ini.

"Mangsa memberikan alamat tempat kerjanya untuk urusan penghantaran hadiah tersebut dan pada 13 Oktober lalu dia menerima pesanan daripada sebuah syarikat kurier melalui akaun WeChat memaklumkan hadiah daripada Micheal Yang sudah tiba di negara ini dan diserahkan kepada pihak kastam.

"Bagi menuntut hadiah tersebut, mangsa diminta membayar kos penghantarannya sebanyak RM5,000 dan dia menjelaskannya dengan melakukan pemindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki pada hari berikutnya," katanya.

Mohd Wazir berkata, dalam tempoh 15 hingga 18 Oktober lalu, mangsa diminta membuat bayaran tambahan RM30,000 untuk bayaran kepada pihak kastam dan petugas serta caj perkhidmatan yang dikenakan.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa menjelaskan semua bayaran tersebut ke tiga akaun bank atas nama individu berbeza sebelum diminta menunggu hadiah tersebut yang kononnya akan diserahkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula curiga apabila hadiah tersebut masih belum diterima dan tiada sebarang perkembangan dimaklumkan berkaitan urusan penghantarannya," katanya.

Beliau berkata, pada 4 November lalu, mangsa menghubungi kenalannya itu melalui WeChat namun gagal apabila lelaki itu didapati sudah memadamkan akaun di laman sosial tersebut.

"Mangsa yang syak dia telah ditipu tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.