Pengusaha stesen minyak beroperasi seperti biasa

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Jamil Salleh (tengah) menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP oleh Datuk Mohd Roslan Mahyuddin (kiri) kepada Iskandar Halim kanan) hari ini. - Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Jamil Salleh (tengah) menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP oleh Datuk Mohd Roslan Mahyuddin (kiri) kepada Iskandar Halim kanan) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua 3,700 pengusaha stesen minyak di seluruh negara menjalankan perniagaan seperti biasa serta akur dengan notis arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kata Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP baharu, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

KPDNHEP pada 27 Disember lalu mengeluarkan notis arahan kepada semua pengusaha stesen minyak supaya memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi menjelang Januari selepas terdapat cubaan pengusaha stesen minyak untuk memboikot susulan pengumuman kerajaan berhubung penurunan harga minyak dan kaedah apungan harga bahan api secara mingguan bermula 2019.

"Setakat ini, tiada sebarang aduan yang diterima berkenaan stesen minyak kehabisan bahan bakar atau sengaja tidak menjalankan perniagaan,” kata Iskandar Halim kepada media selepas majlis serah terima tugas selaku Pengarah Penguatkuasa daripada penyandang Datuk Mohd Roslan Mahayudin di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada wujud usaha menyorok minyak atau menghentikan perniagaan lebih awal berbanding waktu operasi biasa susulan kenyataan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) sebelum ini bahawa tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Jan.

Iskandar Halim berkata notis itu turut mengingatkan pengusaha tentang kewajipan mematuhi syarat pemilikan lesen kerana sebarang tindakan yang bertentangan boleh menyebabkan mereka diambil tindakan atau lesen perniagaan dibatalkan.

Beliau berkata 2,300 anggota dan pegawai KPDNHEP diarahkan turun bertemu pengusaha stesen minyak di seluruh negara dan mendapati mereka akur kepada notis jualan harian yang dikeluarkan kementerian.

"Pengusaha stesen minyak akur jika sengaja mengeringkan tangki atau tidak membuka perniagaan, bukan sahaja mereka akan didakwa malah syarikat pembekal petrol dan diesel ke stesen itu juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Mengenai misinya selaku pengarah penguatkuasa yang baharu, Iskandar Halim berkata beliau menetapkan untuk memantapkan aspek disiplin anggota dan pegawai di bawahnya selain meningkatkan pengetahuan dalam hal siasatan dan penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga akan bersama-sama kerajaan dalam menjayakan agenda besar menangani isu kos sara hidup yang berkaitan dengan kepenggunaan," katanya yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah (Cawangan Operasi Khas) KPDNHEP. - Bernama