Cara gajah taman negara Thailand 'sambut' pengunjung

Seekor gajah dirakam cuba untuk duduk di atas kereta pengunjung di Taman Negara Khao Yai, Thailand. - Foto Facebook Phassakorn Niltarach
Seekor gajah dirakam cuba untuk duduk di atas kereta pengunjung di Taman Negara Khao Yai, Thailand. - Foto Facebook Phassakorn Niltarach
A
A
A

BANGKOK - Seekor gajah dirakam cuba untuk duduk di atas kereta pengunjung di sebuah taman negara di Thailand baru-baru ini.

Menurut Bangkok Post, insiden tersebut berlaku Selasa lalu di Taman Negara Khao Yai.

Rakaman video yang tersebar dalam talian menunjukkan seekor gajah bernama Duea, cuba untuk memanjat sebuah kereta pengunjung.

Ia kemudian kelihatan merendahkan tubuhnya di atas kenderaan terbabit ketika si pemandu cuba untuk menekan minyak dan melarikan diri.

Meskipun kereta berkenaan mengalami kerosakan namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Susulan insiden terbabit, pihak Taman Negara Khao Yai meminta pengunjung untuk memberhentikan kenderaan sekurang-kurangnya 30 meter daripada haiwan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, pengarah taman berkenaan, Kanchit Sarinpawan berkata, Duea hanya mahu 'menyambut' para pengunjung dan ia tidak akan mencederakan sesiapa. - Agensi

Artikel Berkaitan: