Lambakan reban ayam punca masalah lalat gagal ditangani

Abdul Aziz (kanan) mengadakan lawatan ke sebuah ladang ternakan ayam di Segari semalam.
Abdul Aziz (kanan) mengadakan lawatan ke sebuah ladang ternakan ayam di Segari semalam.
A
A
A

MANJUNG - Lambakan ternakan ayam yang diusahakan secara terbuka di daerah Manjung antara punca masalah gangguan lalat gagal ditangani di kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 700 reban ayam beroperasi secara kecil-kecilan di daerah ini.

Menurutnya, amalan sistem ternakan terbuka oleh pengusaha itu secara tidak langsung menyumbang kepada masalah lalat dan bau kerana tiada kawalan sistematik dilakukan.

"Berbanding ladang ternakan, reban-reban kecil ini tidak menggunakan teknologi tinggi yang membolehkan pembuangan sisa dan pelupusan bangkai ayam dilakukan dengan baik.

"Kebanyakannya tidak dilesenkan jadi agak sukar untuk diambil kerana tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sebuah ladang ternakan ayam di Segari semalam.

Lawatan itu dibuat susulan aduan penduduk di Segari, Isnin lalu yang mahu mengambil tindakan saman terhadap syarikat ternakan, jabatan dan agensi terlibat kerana sudah tidak tahan dengan gangguan lalat dipercayai berpunca daripada aktiviti ternakan ayam.

Abdul Aziz (kiri) ketika mengadakan lawatan ke sebuah ladang ternakan ayam di Segari semalam.
Abdul Aziz (kiri) ketika mengadakan lawatan ke sebuah ladang ternakan ayam di Segari semalam.

Di Manjung terdapat 177 ladang ternakan ayam yang diusahakan dalam skala besar dengan 143 masih beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, gangguan lalat tidak dapat diselesaikan secara total dengan hanya mengambil tindakan menutup operasi kerana boleh memberi kesan terhadap bekalan makanan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 tahun 'dihurung' lalat

Katanya, Manjung merupakan daerah perusahaan ternakan ayam terbesar di negeri ini yang telah menampung antara 11 ke 15 peratus permintaan ayam negara dengan lebih 75 juta ekor pengeluaran setiap tahun.

"Isu ini perlu dilihat secara holistik dan semua agensi perlu terlibat sama. Kita memerlukan dasar lebih menyeluruh di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar satu penyelesaian dapat dibuat terhadap masalah penduduk tanpa memberi kesan kepada industri ternakan ayam itu sendiri.

"Dari segi perundangan dan penguatkuasaan kita sudah lakukan sehabis mungkin, sehingga kini sebanyak 64 kompaun telah dikeluarkan di daerah Manjung atas pelbagai kesalahan mengikut Enakmen Perladangan Unggas 2005," katanya.

Mengulas mengenai ladang ternakan ayam di Segari yang dikatakan sebagai punca masalah lalat, beliau berkata, syarikat yang menggunakan kepakaran teknologi tinggi itu didapati mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, tinjauan dibuat mendapati, pengurusan najis, pelepasan sisa buangan pepejal dan kumbahan yang terawat secara berkesan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Semua ini dipatuhi syarikat untuk meminimumkan impak pencemaran dan masalah lalat tetapi jika kacau ganggu ini masih berlaku, kita mohon maaf kepada penduduk.

"Kita juga sudah lakukan terbaik dalam memastikan tidak ada kelompongan atau kelemahan dari segi penguatkuasaan," katanya.