Bayi derita jantung berlubang perlu dana RM75,000

Rosmini dan suaminya, Meor Harulsani berusaha mengumpul wang bagi proses pembedahan anak sulung mereka tahun depan.
Rosmini dan suaminya, Meor Harulsani berusaha mengumpul wang bagi proses pembedahan anak sulung mereka tahun depan.
A
A
A

IPOH - Seorang bayi lelaki berusia lima bulan memerlukan sumbangan untuk membiayai kos pembedahan dan rawatan penyakit jantung berlubang yang dihidapinya berjumlah RM75,000.

Meor Adam Rafael Meor Harulsani yang juga bayi sindrom down tinggal bersama keluarganya di Taman Temara di sini disahkan menghidap penyakit itu selepas dilahirkan pramatang ketika berusia lapan bulan dalam kandungan.

Ibunya, Rosmini Shafie, 36, berkata, anak sulungnya itu perlu menjalani empat pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan membabitkan kos besar.

"Bayi kami dilahirkan tidak cukup bulan dengan seberat 1.6kg dan dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan.

"Selepas melahirkannya, doktor maklumkan keadaannya serta menghidap sindrom down. Dia bayi yang sangat aktif namun keadaan jantungnya buatkan dia cepat penat," katanya.

Meor Adam Rafael menghidap jantung berlubang sejak lahir.
Meor Adam Rafael menghidap jantung berlubang sejak lahir.

Menurutnya, dia dan suaminya, Meor Harulsani Meor Zakaria, 25, hanya bekerja di sebuah restoran makanan segera bagi menampung kehidupan mereka.

"Adam perlu menjalani pembedahan kecacatan septum atrium (atrial septal defect - ASD), kecacatan septum ventrikel (ventrical septal defect - VSD), atrioventricular septal defect (AVSD) repair dan duktus arteriosus terbuka (patent ductus arteriosus - PDA).

Artikel Berkaitan:

"Pembedahan itu akan dilakukan Februari tahun depan mengikut keadaan dan tahap kesihatannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Temara di sini semalam.

Rosmini berkata, pembedahan itu memerlukan kos sehingga RM70,000 dan lebih RM5,000 untuk rawatan.

"Dalam tempoh empat bulan ini kami perlu kumpul wang terbabit selain telah membuat rayuan di IJN. Kami tidak memiliki simpanan sebanyak itu meskipun mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

"Sukar untuk kami usahakan dan kami berharap ada pihak sudi memberi sumbangan supaya Adam dapat menjalani kehidupan seperti bayi normal lain," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Rosmini Shafie 158033511531 (Maybank) atau menghubungi Meor Harulsani di talian 017-4831304 atau Rosmini 017-4831306