PTG keluar 105 notis kepada peniaga premis haram

Anggota penguatkuasa PTG Wilayah Persekutuan menyerahkan notis kepada pemilik premis haram dalam operasi yang dijalankan hari ini. - Foto PTG Wilayah Persekutuan
Anggota penguatkuasa PTG Wilayah Persekutuan menyerahkan notis kepada pemilik premis haram dalam operasi yang dijalankan hari ini. - Foto PTG Wilayah Persekutuan
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan mengeluarkan sebanyak 105 notis kepada peniaga yang membina premis haram di atas tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru yang bersempadan dengan Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Pengarahnya, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, kesemua notis diberikan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana pendudukan tanpa sah di atas tanah kerajaan.

Menurutnya, notis tersebut diberikan secara berperingkat iaitu bertarikh 4 dan 5 November 2019 melibatkan semua premis dan struktur dari pasar raya sehingga ke bahagian sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Di bawah notis tersebut kesemua peniaga premis haram itu diberikan tempoh selama 14 hari untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan.

"Jika mereka masih berdegil dan enggan keluar selepas tempoh notis tamat, kita tidak akan berkompromi dan tindakan perobohan akan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kewujudan premis perniagaan haram yang dibina di atas rizab jalan menyebabkan projek pelebaran jalan di Selayang Baru tidak dapat dilaksanakan mengikut tarikh dan spesifikasi yang ditetapkan.

Kedegilan pemilik untuk merobohkan premis haram mereka walaupun telah mendapat surat arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengundang tanda tanya, apakah mereka ini terlalu kebal daripada sebarang penguatkuasaan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 diberikan secara serahan tangan kepada pemilik premis haram di kawasan Selayang Baru. - Foto PTG Wilayah Persekutuan
Notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 diberikan secara serahan tangan kepada pemilik premis haram di kawasan Selayang Baru. - Foto PTG Wilayah Persekutuan

Apa yang dikesalkan kedegilan pemilik premis haram itu menyebabkan projek pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di kawasan itu tertangguh dan menyebabkan kesesakan yang teruk terutama ketika waktu puncak.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan mengatakan notis tersebut hanya diserahkan kepada sebahagian peniaga premis haram di situ, Che Roslan berkata, pihaknya melaksanakan penguatkuasaan tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita ikut SOP dan tidak pilih bulu. Kalau ada yang masih belum terima seperti peniaga besar yang ada bangunan ia mungkin disebabkan faktor persempadanan kerana kawasan tersebut melibatkan sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Dalam kes seperti ini PTG Wilayah Persekutuan perlu buat siasatan rapi dan merujuk kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk pengesahan status sempadan lama kawasan premis itu, sebelum boleh berbincang dengan PTG Selangor untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tindakan penguatkuasaan secara terus sekiranya perkara itu tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Katanya, PTG Wilayah Persekutuan juga masih belum memuktamadkan dengan PTG Selangor berkaitan 18 'outstanding boundary problem' atau OBP di kawasan tersebut.