Parkir swasta di Melaka ditangguh serta merta

Adly Zahari
A
A

MELAKA - Semua pengoperasian parkir berbayar baharu yang diswastakan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ditangguhkan serta-merta untuk kajian dan penilaian semula kaedah caj yang dikenakan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, tindakan penangguhan termasuk melihat semula perjanjian yang dimeterai antara pihak MBMB dan syarikat swasta yang mengendalikan kutipan bayaran parkir berkenaan selain kawasan pengoperasian sistem parkir berbayar itu.

"Penangguhan ini melibatkan pengoperasian kawasan parkir berbayar terutama penswastaan parkir di 13 lokasi sekitar bandar raya Melaka untuk penilaian semula dan ketetapan baharu berhubung pelaksanaan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

"Pengoperasian parkir berbayar ini di kawasan tumpuan awam seperti di pasar raya, kedai serbaneka, klinik dan bank perlu dilihat semula kerana agak membebankan orang awam yang hendak ke tempat tersebut," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian pondok parkir di Taman Nirwana, Jalan Klebang Besar di sini terbakar pada awal pagi tadi dipercayai susulan bantahan isu penswastaan parkir tersebut.

Mengulas lanjut, Adly berkata, MBMB perlu mengambil pengajaran atas insiden kebakaran pondok parkir berkenaan untuk langkah penambahbaikan terhadap isu tersebut. - Bernama