Kanak-kanak pelarian wajar diberi peluang pendidikan

Sebahagian kanak-kanak pelarian yang juga pemegang kad UNCHR menunjukkan kad masing-masing. - Foto Mapim
Sebahagian kanak-kanak pelarian yang juga pemegang kad UNCHR menunjukkan kad masing-masing. - Foto Mapim
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan menyemak semula dasar berkaitan pendidikan kepada kanak-kanak pelarian tanpa dokumen dalam negara ini, khususnya kanak-kanak Rohingya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebuah dasar dan mekanisme bersesuaian hendaklah diwujudkan agar kanak-kanak ini turut diberi peluang mendapatkan pendidikan.

Menurutnya, kanak-kanak tanpa dokumen dan bertaraf pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini tidak berpeluang mendapat pendidikan sejak kemasukan mereka di awal 80-an, dan membesar tanpa pendidikan formal.

Mohd Azmi
Mohd Azmi

“Kehadiran mereka ramai, namun tiada masa depan apabila tidak mendapat peluang bersekolah seperti kanak- kanak di Malaysia kerana tiada dokumen. Segelintir ditampung untuk berada di pusat pembelajaran pelarian dikendalikan beberapa NGO seluruh negara,” katanya.

Mohd Azmi berkata, dianggarkan terdapat hampir 200 pusat pembelajaran dikendalikan NGO, selain dibantu oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR).

“Tiada data tepat anggaran kanak-kanak itu di pusat tersebut kerana ada hanya belajar di madrasah tidak formal di seluruh negara. Namun, tidak sampai 5 peratus dari keseluruhan kanak-kanak itu yang dianggar lebih 50,000 dari pelbagai peringkat umur mendapat pendidikan sempurna,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya menyarankan agar NGO difasilitasikan untuk membantu menyelesaikan kemelut ini secara kolaboratif dan konstruktif.

“Kanak-kanak Rohingya di Malaysia, majoriti berada di sekolah yang sangat sederhana dan serba daif. Ada belajar di Madrasah al-Quran dan ada mendaftar di pusat pembelajaran yang memiliki pengajaran akademik. Namun tenaga pengajar atau guru pula tidak terlatih atau tidak kekal akibat masalah kewangan,” katanya.

Mohd Azmi berkata, terdapat pusat pembelajaran yang tidak mampu diteruskan dan terpaksa ditutup kerana tiada dana mencukupi.

“Kami beri perhatian serius terhadap nasib kanak-kanak Muslim yang tidak mendapat pendidikan agama sempurna. Setakat ini, hanya beberapa NGO Islam menjalankan pusat pembelajaran dengan penekanan kepada pembelajaran asas Islam,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan agensi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), semua kanak-kanak tanpa pengecualian berhak mendapatkan pendidikan.

“Implikasi kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan amat besar kepada masyarakat dan negara. Ini termasuk gejala sosial serta implikasi keamanan awam yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini dalam proses rundingan bersama UNHCR untuk pastikan agensi kerajaan turut terlibat dalam menentukan status pelarian.

Muhyiddin berkata, setakat September 2019, terdapat 177,943 pemegang kad UNHCR, dengan jumlah tertinggi dari Myanmar 153,591 orang, diikuti Pakistan (6,495) dan Yaman (3,568).

Katanya, undang-undang negara ini tidak membenarkan anak-anak pelarian menjadi warganegara Malaysia walaupun lahir di negara ini, kecuali dengan peruntukan tertentu. Rekod itu diperlukan bagi menangani isu berbangkit seperti persekolahan dan kesihatan.