Rindu pula zaman masa kecil dahulu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BOLEH dikatakan semua rumah di Malaysia ada peti televisyen sekurang-kurangnya satu. Malah ada rumah yang mempunyai lebih daripada satu televisyen.

Satu televisyen diletakkan di ruang tamu, satu di bilik tidur dan satu di dapur.

Sambil memasak, isteri boleh menonton drama kegemarannya. Ada juga yang mempunyai televisyen bersaiz besar macam pawagam. Itu biasanya golongan yang berwang, bukan beruang.

Merak Jalanan hanya mampu ada sebuah televisyen. Itupun sebab menang cabutan bertuah pada sebuah majlis anjuran sebuah kementerian beberapa tahun lalu. Masih elok dan menjadi tontonan Merak Jalanan sekeluarga.

Tapi hakikatnya Merak Jalanan jarang sangat dapat menonton televisyen. Bukan kerana anak-anak menyorokkan remote control kerana mahu menonton program kartun atau isteri sudah booking awal-awal drama Melayu setiap jam 10 malam di saluran berbayar.

Sebenarnya Merak Jalan kurang berminat dengan program yang disiarkan sekarang ini. Anak-anak pun lebih suka menonton YouTube melalui telefon pintar atau komputer masing-masing.

Jadi memang tak ada adegan berebut atau sorok remote control macam zaman masa kecil dahulu.

Rindu pula zaman masa kecil dulu yang hanya ada televisyen sebagai hiburan. Berbeza dengan zaman sekarang, ada televisyen sebesar manapun dah tak rasa nak tengok pun sebab lebih seronok dengan telefon pintar masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dulu-dulu, memang mencabar betul setiap kali nak tengok cerita yang lain daripada adik beradik. Memang kena bergaduh sebab nak tengok cerita lain. Lagi sakit hati bila tengah seronok layan drama, tiba-tiba kakak tukar cerita lain.

Tapi bila ayah datang, terpaksalah layan Berita Perdana. Nak tak nak kena tengok juga. Atau masuk bilik baca buku. Habis cerita.

Itulah yang mengeratkan hubungan kasih sayang antara kami adik-beradik. Suasana itu tidak ada lagi pada hari ini.