Pulau Pinang diminta semak semula kenaikan cukai taksiran

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang diminta untuk menyemak semula kenaikan cukai taksiran yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkata, beliau memahami bahawa kenaikan cukai itu tidak dapat dielakkan berikutan kadar sedia ada tidak disemak sejak 15 tahun lepas.

Namun, beliau berharap kerajaan Pulau Pinang dapat menjelaskan mengenai peningkatan perkhidmatan yang akan dinikmati rakyat hasil daripada kenaikan kutipan cukai berkenaan.

"Kalau kerajaan negeri mengambil sikap untuk meneruskan kenaikan cukai, apa yang saya mohon perkhidmatan yang ditawarkan biarlah setimpal dengan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Keresahan rakyat adalah apakah ada peningkatan kepada perkhidmatan, dari sudut penyelenggaraan parit, pembersihan sampah, landskap dan sebagainya. Ini yang mahu dilihat oleh rakyat di Seberang Perai terutamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2020, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Dalam pada itu Muhammad Faiz menyarankan kerajaan Pulau Pinang melanjutkan tempoh ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada lima tahun seperti yang dicadangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, tempoh yang disyorkan itu satu yang positif supaya momentum perkhidmatan semua ahli majlis dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika mencelah berkata, telah termaktub dalam peruntukan undang-undang negeri bahawa satu lantikan ahli majlis tidak boleh melebihi tempoh tiga tahun.

"Bukan saya tidak mahu, tapi satu lantikan tidak boleh melebihi tiga tahun. Ini sudah termaktub dalam undang-undang negeri," tambahnya.

Pada bulan lepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang memanjangkan tempoh khidmat ahli majlis PBT seperti tempoh perkhidmatan ADUN dan ahli Parlimen bagi memastikan peranan dan perkhidmatan ahli majlis dirasai oleh masyarakat sekali gus memantapkan lagi organisasi PBT di seluruh negara.

Persidangan DUN Pulau Pinang ini akan bersambung esok. - Bernama