'Bukan sebab telefon bimbit' - Rapid KL

Keadaan Perodua Myvi yang kemek di celah lori dan bas Rapid KL dalam kemalangan Isnin lalu.
Keadaan Perodua Myvi yang kemek di celah lori dan bas Rapid KL dalam kemalangan Isnin lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu bas Rapid KL yang terlibat dalam kemalangan berhampiran Suria Kinrara Isnin lalu tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu seperti didakwa.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, kemalangan melibatkan bas Rapid KL dengan Perodua Myvi serta lori yang berlaku sekitar jam 11.40 pagi itu telah menyebabkan kereta tersebut mengalami kerosakan.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik Serdang pada hari kejadian selain Rapid KL turut melakukan siasatan dalaman.

"Siasatan awal hasil dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bas berkenaan menunjukkan kapten bas tidak menggunakan telefon bimbit sewaktu kejadian, sekali gus menafikan dakwaan yang sedang tular di sosial media bahawa beliau berbuat demikian.

"Pada masa sama, Rapid KL akan melaksanakan siasatan penuh dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

" Rapid KL juga akan meneliti langkah-langkah keselamatan yang boleh dipertingkatkan," memetik kenyataan Rapid KL yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan sama menyebut, Rapid KL memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan keadaan Perodua Myvi yang ibarat 'sandwich' terperangkap di antara lori dengan bas Rapid KL.

Artikel Berkaitan:

Menerusi sebuah portal Berbahasa Inggeris melaporkan insiden tersebut berlaku disebabkan kelajuan bas selain dakwaan pemandu bas yang sedang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.