Britain bubar Parlimen, Pilihan Raya 12 Disember ini

Johnson menghabiskan masa selama kira-kira 20 minit di Istana Buckingham. -FOTO: AGENSI
Johnson menghabiskan masa selama kira-kira 20 minit di Istana Buckingham. -FOTO: AGENSI
A
A
A

LONDON - Parlimen Britain dibubarkan hari ini, sekali gus menandakan bermulanya kempen Pilihan Raya selama lima minggu menjelang pemilihan pada 12 Disember ini.

Perdana Menteri, Boris Johnson turut bertemu dengan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham untuk memaklumkan tentang perkara itu.

Susulan itu, parti politik termasuk parti pemerintah, Konservatif yang dipimpin Johnson mula melancarkan kempen untuk meraih sokongan pengundi.

Bekas Datuk Bandar London itu masih dengan pendirian beliau sebelum ini yang mahu merealisasikan Brexit selepas ia ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

Sementara itu, pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn daripada Parti Buruh juga berikrar akan berlaku 'perubahan sebenar' di bawah kepimpinan mereka manakala Parti Hijau melancarkan kempen dengan janji untuk melabur 100 bilion Pound (RM533 bilion) setahun terhadap tindakan iklim.

Selain itu, Parti Liberal Demokrat berjanji untuk memperuntukkan 2.2 bilion Pound (RM11.7 bilion) setahun untuk perkhidmatan kesihatan mental yang dibiayai dengan kenaikan satu peratus ke atas cukai pendapatan.

Britain terpaksa mengadakan pilihan raya awal yang berlangsung kali ketiga dalam tempoh empat tahun selepas Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menangguhkan Brexit pada 31 Januari 2020. - Agensi

Artikel Berkaitan: