Lahir awal sebab uri pecah

Dang Allia dan Hadrulazem Hud bersama Hud pada Majlis Graduasi Bayi Pramatang Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Dang Allia dan Hadrulazem Hud bersama Hud pada Majlis Graduasi Bayi Pramatang Hospital Shah Alam di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kelahiran Hud Hadrulazem, 3, ibarat satu keajaiban kepada pasangan Dang Allia Abdul Rahman, 34, dan suami, Hadrulazem Mahyuddin, 34.

Dang Allia yang berkongsi cerita berkata, dia dan suami diberitahu harapan anak sulungnya itu hidup tipis selepas lahir dalam keadaan pramatang pada usia kandungan 27 minggu dengan beratnya hanya 500 gram.

Namun menurutnya, Hud mempunyai semangat juang yang tinggi dan dia sendiri tidak menyangka anaknya itu sihat dan membesar seperti kanak-kanak normal lain.

"Dia boleh bercakap dan berjalan walaupun agak perlahan berbanding kanak-kanak normal lain namun tidak seteruk mereka yang sakit.

"Mulanya doktor kesan kemungkinan dia dilahirkan buta, namun alhamdulillah dia cuma hadapi masalah rabun," katanya ketika menghadiri Majlis Graduasi Bayi Pramatang Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Pegawai tadbir sektor awam itu berkata, Hud terpaksa dilahirkan lebih awal selepas dia menghadapi masalah pendarahan teruk disebabkan urinya yang sudah pecah.

"Saya sekeluarga dimaklumkan pembedahan yang dibuat akan menyelamatkan nyawa ibu dulu kemudian barulah anak dan ketika itu saya sudah reda kemungkinan kehilangan Hud.

"Kuasa ALLAH SWT Hud selamat dilahirkan, dia dirawat selama hampir sembilan bulan di Hospital Shah Alam dan menyambung rawatan di Hospital Serdang selama beberapa bulan sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga sekarang Hud masih menjalankan pemeriksaan berkala empat bulan sekali bagi memantau keadaannya.

"Saya pilih nama Hud kerana nama Nabi, saya mahu semangat dan kekuatan yang ada pada nabi ALLAH SWT itu sampai kepada anak saya.

"Harapan saya Hud dapat membesar seperti anak-anak lain, walaupun nampak pembesarannya ada sedikit lambat tapi saya harap ada sinar kepada kami untuk melihatnya membesar," katanya.

Bayi pramatang didefinisikan sebagai bayi yang lahir sebelum usia 37 minggu dan berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan disebabkan tidak cukup matang perkembangannya.

Bayi pramatang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan sehingga keadaannya benar-benar sihat dan kuat.

Terdahulu Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan berangkat ke Majlis Graduasi Bayi Pramatang Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Keberangkatan baginda disambut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Ruzita Othman.