Volvo S60 T8 R-Design lebih kompak, sporty

A
A
A

VOLVO sememangnya antara jenama pengeluar kenderaan yang paling selamat di dunia dan mempunyai ‘pemujanya’ yang tersendiri. Itu fakta yang sukar dinafikan.

Demi menawarkan pemanduan dinamik dan berprestasi untuk sebuah sedan, Volvo Car Malaysia (VCM) menampilkan model baharunya yang tampil dengan rekaan lebih segar dan muda untuk pasaran tempatan iaitu Volvo S60 T8 R-Design.

Seperti model-model jenama Volvo lain, unit awalan itu diimport sepenuhnya (CBU) sebelum versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan tampil dengan spesifikasi yang sama tidak lama lagi.

Sekali imbas, penggayaan luaran jentera tersebut dilihat seiras dengan model terdahulunya iaitu S90, namun dengan saiz yang lebih kompak, lebih sporty dan lebih elegan dalam kelasnya.

Kemasan

Berkenaan dengan rekaan, S60 generasi ketiga itu disegarkan dengan kemasan bampar hadapan di samping kemasan apron yang tampak agresif, gril enam-poin bersama logo iron mark. Turut tidak ketinggalan, sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur Tukul Thor.

Bahagian belakang S60 itu juga menampilkan rekaan yang tidak jauh beza daripada S90 terutama pada bentuk lampu belakang.

Artikel Berkaitan:

KEMASAN ruang kokpit yang cukup mewah.
KEMASAN ruang kokpit yang cukup mewah.

Namun, pada bahagian ruang nombor plat pendaftaran jentera tersebut diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan pada bahagian bampar. Tulisan perkataan Volvo juga diletakkan sedikit tinggi dan kemasan spoiler but yang lebih menyerlah.

Dengan kemasan pakej R-Design, model pasaran Malaysia itu hadir dengan kit luaran paling agresif, terdiri dari liang kemasukan pada bampar yang lebih besar dan gril dengan elemen pin kedua-duanya dalam kemasan hitam, manakala jalur perak turut diberikan pada sekeliling gril.

Sebagai tambah nilai, Volvo keluaran baharu itu dilengkapi dengan diffuser lebih garang pada bahagian belakang yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid.

Gaya versi R-Design itu juga turut dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut matte black dibaluti tayar 235/40R19.

Selain itu, Volvo S60 memiliki dimensi 4,761 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,431 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,872 mm.

Varian tertinggi yang ditawarkan dalam keluarga S60 itu didatangkan dengan enjin 2.0 liter hibrid yang mampu menjana 407 kuasa kuda dan 640 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik Aisin lapan nisbah kelajuan.

SEDAN sporty itu mampu memecut sepantas 4.4 saat dari pegun ke 100 km/j.
SEDAN sporty itu mampu memecut sepantas 4.4 saat dari pegun ke 100 km/j.

Dengan sistem pacuan semua roda atau AWD, sedan sporty itu mampu memecut sepantas 4.4 saat dari pegun ke 100 km/j. Cukup pantas bukan?

Dari segi penjimatan pula, Volvo S60 mampu memberi pulangan bacaan penggunaan bahan api sekitar 2 liter untuk setiap 100 km.

Sistem keselamatan tercanggih

Menjengah ke bahagian dalaman pula, jentera tersebut dikemaskan dengan tempat duduk balutan kulit Charcoal Fine Nappa dan Open Grid Textile dan terdapat kemasan berjahit pada bahagian papan pemuka.

Sistem infotainmen Volvo S60 itu disokong dengan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, manakala bunyi pula disalurkan kepada pengguna menerusi sistem bunyi premium Harman Kardon.

Tidak lengkap sesebuah kenderaan baharu tanpa ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Volvo S60 generasi baharu itu tampil dengan sistem keselamatan antara yang paling canggih dalam kelasnya.

RUANG enjin 2.0 liter hibrid.
RUANG enjin 2.0 liter hibrid.

Jentera tersebut dilengkapi enam beg udara, brek kecemasan automatik City Safety, Pilot Assist, Bantuan Kekal Lorong, Amaran dan Sokongan Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Driver Alert Control (DAC), Pengelak Keluar Jalan, Lintasan Trafik Belakang dan pelbagai lagi.

Terdapat lima warna menarik ditawarkan kepada pengguna iaitu Fusion Red Metallic, Crystal White Pearl, Pebble Grey Metallic, Onyx Black Metallic dan Birch Light Metallic.Harga jualan pula bermula dari RM295,888 atas jalan tidak termasuk insurans dan boleh didapati di kesemua pengedar sah berdaftar Volvo di Malaysia.