Hasil pendapatan Negeri Sembilan meningkat

Aminuddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Hasil kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan kepada RM422 juta sehingga tempoh 5 November lalu berbanding RM421 juta pada tahun 2018.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau yakin sasaran RM430 juta sepertimana yang disasarkan dalam bajet sebelum itu mampu dicapai penghujung tahun ini.

Menurutnya, antara faktor peningkatan hasil kerajaan Negeri Sembilan disebabkan peningkatan produktiviti yang memberangsangkan selain ketegasan dalam penguatkuasaan yang berjaya mengutip hasil cukai yang tertunggak sebelum ini.

“Bagi hasil cukai sahaja setakat ini kita berjaya mengutip sebanyak RM141 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM136 juta manakala hasil bukan cukai yang dikutip sehingga 5 November adalah RM213 juta berbanding RM223 juta tahun lalu.

“Bagi penerimaan bukan hasil pula sebanyak RM67 juta berjaya dikutip setakat ini berbanding RM61.4 juta sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini semalam.

Aminuddin berkata, simpanan rizab Negeri Sembilan sehingga tempoh ini juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Katanya, hasil rizab itu meningkat daripada RM687 juta tahun 2018 kepada RM898.8 juta sehingga 5 November lalu dengan peningkatan sebanyak RM211 juta.

Artikel Berkaitan:

"Rizab kita meningkat, tiada berkurang pun. Ini jelas menunjukkan simpanan kita terus berada dalam keadaan baik kerana terdapat pihak yang mengatakan hasil ini sudah habis sebaik Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan dengan peningkatan ini membuktikan bahawa kerajaan PH tidak pernah menghabiskan duit rizab," katanya.

Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan bersetuju menaikkan elaun sara hidup kakitangan awam yang bertugas di Jempol selepas daerah itu dinaik taraf daripada Majlis Daerah Jempol kepada Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) pada Januari lalu.

Katanya, jumlah kenaikan yang kini di peringkat perbincangan itu akan membabitkan semua kakitangan awam kerajaan Negeri Sembilan dan Persekutuan yang bertugas di daerah itu.