Syukur...Air muka Guan Eng tetap dijaga, kata Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis mengakui telah ‘memfitnah’ kerajaan PH mengenakan cukai petrol sebanyak 30 sen setiap liter.

Menurut Najib, pengumuman penurunan harga petrol RON95 sebanyak 27 sen seliter kepada RM1.93 dengan tambahan margin keuntungan kepada pengusaha stesen minyak sebanyak 2.81 sen hari ini membuktikan beliau ‘salah’.

"Ini bermaksud cukai tersembunyi yang kerajaan PH senyap-senyap tibai sebenarnya ialah 29.81 sen satu liter - tidak jauh dari 30 sen satu liter yang saya pernah bongkar.

"Di dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dua minggu lepas, Guan Eng menuduh saya telah ‘fitnah’ bahawa kerajaan PH mengenakan cukai petrol sebanyak 30 sen setiap liter.

"Rupanya Guan Eng betul bahawa saya telah ‘fitnah’. Ia 29.81 sen satu liter dan bukan 30 sen satu liter. Saya salah lagi. Syukur, air muka Guan Eng tetap dijaga kerana perbezaan 0.19 sen ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pengumuman harga minyak hari ini juga mengesahkan bahawa kerajaan PH telah menaikkan margin keuntungan untuk pengusaha stesen petrol sebanyak 23 peratus untuk RON95 dari 12.19 sen kepada 15 sen satu liter bermula hari ini. "Margin keuntungan untuk diesel dinaikkan 43 peratus dari 7 sen kepada 10 sen satu liter. Untung juga jika anda pengusaha stesen minyak.

"Penjualan RON95 di Malaysia ialah sebanyak RM1.1 bilion liter setiap bulan. Ini bermaksud pengusaha stesen minyak boleh mengaut keuntungan tambahan sebanyak RM30 juta setiap bulan ataupun RM360 juta setiap tahun dengan kenaikan hari ini.

Belum lagi mengambil kira keuntungan tambahan untuk diesel,” katanya.

Artikel Berkaitan: