[VIDEO]Lori selamba buang sampah dalam Sungai Klang

Tindakan pemandu lori biadab membuang sampah terus ke Sungai Klang yang berjaya dirakam baru-baru ini.
Tindakan pemandu lori biadab membuang sampah terus ke Sungai Klang yang berjaya dirakam baru-baru ini.
A
A
A

PETALING JAYA [DIKEMASKINI]- Selamba tuang sampah ke dalam Sungai Klang. Itu perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu lori yang berjaya dirakam di tepi Sungai Klang berhampiran Taman Medan di sini.

Lori bermuatan 3 tan membawa sampah domestik itu dipercayai lolos masuk ke kawasan tebing sungai itu menerusi satu pintu dari kawasan berhampiran.

Difahamkan, terdapat pihak yang menjaga kawasan terbabit dan hanya membenarkan lori tertentu masuk ke kawasan itu untuk membuang sampah.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, kegiatan pembuangan sampah di tepi Sungai Klang berlarutan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, perbuatan itu berhenti seketika sebelum ini sebelum ia berulang apabila penduduk menyedari terdapat beberapa lori mula keluar masuk ke kawasan tebing sungai sejak beberapa hari lalu.

“Mula-mula hanya lima lori yang masuk ke kawasan itu membuang sampah dengan cara menuangkannya terus ke dalam sungai.

“Ia makin menjadi-jadi apabila lebih 20 lori dilihat membuang sampah terus ke dalam sungai tanpa perasaan bersalah.

"Mungkin mereka ambil peluang buang pada hari cuti umum baru-baru ini kerana menyangka tiada pihak berkuasa yang bekerja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad berkata, dia tidak pasti sama ada pihak yang menjaga kawasan itu ada membuat kutipan wang atau sebaliknya untuk membenarkan pihak tidak bertanggungjawab akses ke kawasan tebing sungai.

Menurutnya, terdapat sebuah jengkaut yang bertindak membersihkan sampah yang bersepah di tebing sungai dipercayai bagi menutupi kegiatan haram terbabit.

Katanya, sesuatu perlu dilakukan kerana penduduk tidak mahu melihat Sungai Klang terus dicemari dengan bertan-tan sampah setiap hari ditambah pula dia yakin sampah yang dibuang adalah sisa dari rumah yang berbau busuk.

“Sebelum ini aduan pernah dibuat kepada pejabat tanah tapi tak pasti sama ada tindakan diambil atau tidak.

“Aduan juga pernah dibuat kepada ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tak nampak tindakan diambil,” katanya.